Penswastaan Petronas Undang Pengambilalihan Syarikat
KUALA LUMPUR, 18 Februari 2023 – “Langkah menswastakan Petronas, walaupun 10% atau 20%, akan beransur-ansur membawa kepada pengambilalihan (syarikat).”
Demikian ujar Ramon Navaratnam, bekas pegawai tinggi Perbendaharaan yang menolak cadangan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen untuk menyenaraikan Petronas di Bursa Malaysia bagi meningkatkan hasil dan mengurangkan hutang negara.
Menurut pegawai itu, rangsangan kewangan yang boleh diberikannya kepada Kerajaan hanya bersifat sementara. Kerajaan juga tidak harus menyerahkan ‘walau sedikitpun’ syarikat itu demi kepentingan sektor swasta.
Katanya, “Suntikan dana daripada penyenaraian itu hanya sekali. Selepas itu, ia hilang buat selama-lamanya.”
BACA JUGA: Polis Damansara Difitnah, Polis Akan Buat Laporan
BACA JUGA: Halau Pribumi Kepulauan Chagos 50 Tahun Lampau, UK & AS Lakukan Jenayah Kemanusiaan
BACA JUGA: MAFS Digesa Pastikan Telur Import Tidak Rosak, Busuk
Tegas Ramon, Petronas harus dikekalkan sebagai entiti nasional kerana tindakan menjualnya akan menjadi pendahuluan melepaskan perusahaan terkemuka negara. Beliau juga menyifatkan Petronas sebagai ‘angsa yang mengeluarkan telur emas, benteng terakhir integriti’ rakyat Malaysia.
Selain itu, Ramon berkata, daripada menyenaraikan Petronas di Bursa Malaysia, negara boleh mengurangkan beban hutang dengan menurunkan bajet pembangunan, khususnya ‘projek bermotif politik yang mahal’.
Dalam pada itu, ahli ekonomi, Barjoyai Bardai juga tidak sependapat dengan cadangan Wong. Katanya, hutang kerajaan tidak seteruk yang disangka.
Beliau berpendapat, isu merapatkan jurang antara golongan kaya dan miskin lebih penting dan ini boleh dilaksanakan melalui penstrukturan semula ekonomi.
Ujar Barjoyai, “Petronas harus ‘dikunci’ daripada dijual kepada orang lain dan diletakkan bawah bidang kuasa dana endowmen. Semua wang yang diperoleh Petronas harus diletakkan di sana.”