Penjual Diingatkan Jangan Ambil Kesempatan Atas Penghapusan Subsidi Ayam
KAJANG, 04 November 2023 – Penjual ayam diingatkan untuk tidak mengambil kesempatan atas penghapusan subsidi ayam, kata Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh.
Kata beliau, pihaknya akan meneruskan ‘Op Samar’ dengan mengarahkan pegawai berpakaian awam di lapangan bagi mencegah penjual ayam yang tidak bertanggungjawab dari mengambil kesempatan atas penghapusan subsidi ayam.
Menurut beliau, melalui operasi tersebut, pasukan penguatkuasa kementeriannya akan menjalankan pemeriksaan mengejut di pasar basah dan premis lain bagi memantau harga ayam.
Katanya,
“Saya mendapat maklum balas apabila pegawai kami hadir, ada penjual menukar harga (ayam itu).”
“Melakukan perkara sedemikian adalah tidak wajar, dan tidak sepatutnya terdapat dua titik harga yang berasingan,” tegasnya.
Jelas beliau, pengguna berhak mendapat harga yang lebih rendah dalam situasi seperti ini sekali gus mengingatkan para penjual agar tidak mengambil kesempatan serta sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang.