Penjara, Jika ‘Dedahkan’ Muslim Belum Dewasa Kepada Pengaruh Bukan Islam
GOMBAK, 20 Mac 2023 – Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 Negeri Selangor Seksyen 5(1)(c) memperuntukkan kesalahan khusus jika ‘mendedahkan’ Muslim belum dewasa kepada pengaruh agama bukan Islam atau organisasi berkaitan dengan agama bukan Islam.
Sesiapa melakukan kesalahan itu boleh dihukum penjara selama satu setengah tahun, denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, tegas Pensyarah Kanan Jabatan Undang-undang Islam Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Mohamed Rashid Ab Razak.
Kenyataan ini dikeluarkan bagi mengulas mengenai program ‘Jom Ziarah Gereja’ yang dianjurkan oleh sebuah NGO di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
BACA JUGA: “Jom Ziarah Gereja”: Ketua Pemuda UMNO Tidak Teragak-Agak Halang Program
BACA JUGA: “Jom Ziarah Gereja”: MAIS Persoal Risalah & Iklan Masih Mengelirukan
BACA JUGA: Program Libat Orang Islam Di Rumah Ibadat Bukan Islam Tidak Dibenarkan
Ujarnya, isu utama yang perlu difokuskan dalam Program ‘Jom Ziarah Gereja’ ialah ‘untuk memberikan pemahaman kepada belia semua agama mempunyai persamaan dalam nilai murni dan menganjurkan inisiatif kebajikan’.
Namun dibimbangi ia akan menimbulkan kekeliruan membawa kepada persamaan atau setara antara agama.
Persamaan adalah salah satu ciri pluralisme agama mengajarkan semua agama sama dan setara, tidak ada paling baik dan tidak ada paling buruk.
Tegas beliau, walaupun Perlembagaan memberi kebebasan mengamalkan agama, tetapi ia juga mempunyai beberapa sekatan perlu dipatuhi dan pada masa sama memberikan keistimewaan khusus kepada penganut agama Islam.
“Terdapat tiga aspek jelas disentuh Perkara 11(1), iaitu hak untuk menganut, hak untuk mengamalkan dan hak menyebarkan agama. Setiap rakyat bebas menganut dan mengamalkan agamanya.”
“Bagaimanapun, apabila membabitkan hak untuk menyebarkan ajaran agama, Perlembagaan menetapkan had atau batasan melarang tindakan itu dilakukan secara bebas.”
“Contohnya, Perkara 11 (4) Perlembagaan menyatakan undang-undang negeri dan Persekutuan boleh mengawal atau menghalang penyebaran doktrin atau kepercayaan agama selain daripada Islam kepada orang Islam.”
Ini bermakna, penyebaran agama atau doktrin selain Islam kepada orang Islam adalah dilarang dan undang-undang boleh dibuat untuk mengawal perkara itu. Ini dapat difahami dengan jelas daripada peruntukan berkenaan.
Mengulas lanjut mengenai Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 Negeri Selangor, beliau menambah,
“Seksyen 6(1)(b) pula memperuntukkan kesalahan untuk mendekati seorang Muslim dan mendedahkan mereka kepada sebarang ucapan atau pertunjukan berkaitan dengan agama bukan Islam. Sesiapa melakukan kesalahan ini boleh dihukum penjara selama sehingga enam bulan, denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya.”
“Daripada semua peruntukan di atas, program itu adalah satu kesalahan jika membabitkan orang Islam, terutama golongan belia Muslim,” tegas Dr Mohamed Rashid Ab Razak.
Bukan itu sahaja, perkataan ‘ziarah’ yang digunakan dalam program juga ini dilihat agak provokatif kerana perkataan berasal daripada bahasa Arab ini agak sinonim dengan hal keagamaan Islam seperti ibadah ‘umrah’ atau ziarah ke Tanah Suci.
Oleh itu, menurutnya yang juga Timbalan Pengarah Pusat Islamisasi itu, walaupun program itu disahkan tidak membabitkan belia Muslim, inisiatif berkenaan patut ditarik balik kerana tidak menghormati hasrat Perkara 11(4) Perlembagaan yang mengekang penyebaran agama selain Islam kepada orang Islam dan melanggar Enakmen Ugama Bukan Islam 1988 Negeri Selangor.