Penjara 10 Tahun Serang & Lontar Kata Kesat Kepada Guru Atau Kakitangan Sekolah
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
ARAB SAUDI, 31 Oktober 2022 – Arab Saudi akan menjatuhkan hukuman penjara sepuluh tahun atau denda sebanyak satu juta riyal (RM 1.3 juta) kepada individu yang menyerang secara fizikal dan melontarkan kata kesat terhadap guru atau kakitangan sekolah, lapor sebuah agensi berita Timur Tengah.
Menurut laporan tersebut, peraturan itu ditetapkan susulan daripada peningkatan insiden serangan ganas terhadap guru baru-baru ini.
Lapor berita itu, tahun lalu, seorang pelajar sekolah menengah membelasah gurunya pada siang hari di jalan raya manakala rakan kepada pelajar tersebut merakam insiden terbabit.
Pada 2018, seorang guru sekolah menengah Arab Saudi di Taif mengalami pendarahan dan cedera selepas salah seorang pelajar menumbuknya sewaktu beliau sedang mendaftar kehadiran di dalam kelas.
Pada tahun yang sama, seorang guru mengalami kecederaan di kepala selepas dipukul menggunakan batu oleh seorang pelajar.
Tahun sebelumnya, seorang pelajar di bandar Dhahran turut menyerang gurunya sehingga mengakibatkan kecederaan di muka.
Memetik kepada laporan agensi berita itu lagi, pada 2018, undang-undang tersebut pernah diumumkan oleh Menteri Pendidikan ketika itu, Ahmed Al-Issa yang menyatakan, “Sebarang serangan fizikal terhadap mana-mana kakitngan kementerian akan dianggap jenayah pembunuhan yang memerlukan hukuman penjara dan denda,”.