Tempatan

Penipuan Dalam Telegram Meningkat – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 19 Mac 2022 – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memperingatkan orang ramai mengenai kes penipuan pelaburan yang meningkat secara mendadak di aplikasi Telegram.

SC dalam satu kenyataan mengatakan bahawa pihaknya telah menerima 47 aduan dan pertanyaan mengenai skim pelaburan haram di Telegram sejak awal tahun ini.

Skim berkenaan menawarkan peluang pelaburan yang tidak wujud serta menjanjikan pulangan yang bebas risiko dan sangat menarik dalam tempoh masa yang singkat.

“Mereka ini kebiasaannya menawarkan pulangan yang tidak realistik sehingga 1,000 peratus dalam masa 24 jam atau beberapa jam.”

“Pihak ini menggunakan pelbagai nama untuk menjalankan aktiviti penipuan pelaburan dan mereka juga boleh menyamar atau mengklon perantara pasaran modal berlesen dengan menggunakan nama, logo, kelayakan, laman sesawang dan butiran lain daripada entiti yang sah bagi mempromosikan skim haram tersebut,” ujarnya.

Menurut SC, promosi pakej pelaburan turut dijalankan dalam kumpulan awam di aplikasi Telegram dan kebiasaannya dikongsikan bersama testimoni palsu dan diiklankan sebagai patuh syariah.

Bagi meyakinkan pelabur dan menarik mereka supaya tidak curiga, pelaku akan mendakwa bahawa entiti mereka atau skim pelaburan itu telah mendapat kelulusan oleh pihak berkuasa kewangan.

Tambahnya lagi, pelabur yang berminat diminta menghantar mesej terus kepada wakil untuk memulakan pelaburan dan diarahkan untuk membuat bayaran pendahuluan ke dalam akaun bank korporat yang tidak berkaitan atau akaun peribadi individu yang kononnya mewakili entiti sah.

“Oleh itu, SC ingin mengingatkan pelabur supaya sentiasa berhati-hati dalam menilai peluang pelaburan, terutamanya yang menjanjikan pulangan tinggi yang tidak realistik dengan risiko yang sedikit atau tiada.”

SC turut mengingatkan agar pelabur tidak terus memindahkan wang ke akaun bank peribadi seseorang apabila diarahkan sedemikian.

Orang ramai juga harus merujuk kepada Senarai Peringatan Pelabur SC yang mendedahkan maklumat syarikat dan individu yang melabur tanpa kebenaran. Sebarang laporan mengenai penipuan skim pelaburan boleh dibuat kepada Jabatan Pengguna dan Pelabur SC di talian 03-6204 8999 atau e-mel: [email protected]

Leave a Reply

Back to top button