Tempatan

Peningkatan Mendadak Kes HFMD Di Malaysia

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PUTRAJAYA, 08 Mei 2022 – Kes penyakit berjangkit kaki, tangan dan mulut (HFMD) di seluruh negara dilaporkan meningkat kepada 22,463 kes hingga Minggu Epid (ME) 17/2022, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), angka tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 12.8 kali ganda berbanding ME yang sama pada tahun 2021 iaitu hanya mencatatkan 1,752 kes sahaja.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 21,058 kes HFMD (96%) telah menjangkiti kanak-kanak berumur 0-6 tahun, diikuti oleh kumpulan umur 7-12 tahun iaitu 729 kes (3%) dan selebihnya berlaku dalam lingkungan umur lebih 12 tahun.

Terkini, sebanyak 767 wabak dilaporkan di seluruh negara. Tiga negeri yang mencatatkan kejadian wabak tertinggi ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya, Selangor dan Perak.

Kebanyakan lokasi penularan wabak berlaku di tadika/ taska/ pra-sekolah iaitu sebanyak 600 wabak, diikuti rumah persendirian sebanyak 186 wabak dan juga pusat jagaan kanak-kanak dengan 26 wabak.

HFMD adalah penyakit akibat jangkitan virus Enterovirus dengan majoriti kes disebabkan oleh Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV71). Penyakit ini berjangkit secara kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis pesakit.

Walaupun kebiasaan jangkitan adalah ringan, pesakit boleh mengalami gejala-gejala seperti demam, diikuti ruam melepuh pada tangan, kaki, mulut dan juga lidah. Namun hampir kesemua pesakit yang dijangkiti HFMD pulih tanpa rawatan dalam masa tujuh hingga sepuluh hari.

KKM menasihati orang ramai terutama ibu bapa yang mempunyai anak kecil agar mengambil langkah berjaga-jaga seperti membasuh tangan selepas menggunakan tandas, sebelum menyediakan makanan, selepas menukar lampin dan juga selepas mencuci najis anak.

Ibu bapa juga dinasihatkan supaya tidak membawa anak-anak yang bergejala ke tempat awam yang ramai seperti kolam renang, pasar dan juga pusat beli belah.

Leave a Reply

Back to top button