Peningkatan 6.1 Peratus Indeks Makanan Jadi Penyumbang Utama Kenaikan Inflasi – DOSM
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 24 Julai 2022 – Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin memaklumkan bahawa Indeks Makanan meningkat kepada 6.1 peratus dan kekal menjadi penyumbang utama kenaikan inflasi pada bulan Jun 2022.
“Komponen Makanan Di Rumah dan Makanan Di Luar Rumah masing-masing meningkat 6.1 peratus dan 6.6 peratus, mendorong kepada kenaikan inflasi makanan.”
Ini menjadikan Indeks Harga Pengguna (IHP) Jun 2022 meningkat 3.4 peratus kepada 127.4 berbanding 123.2 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Kenaikan ini melepasi purata inflasi bagi tempoh Januari 2011 hingga Jun 2022 iaitu 1.9%, jelas Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin turut menjelaskan, antara Makanan Di Luar Rumah yang menunjukkan kenaikan adalah roti canai (10.5 peratus), nasi berlauk (9.7 peratus), masakan daging (7.8 peratus) dan makanan berasaskan mee (7.0%).
Selain itu, semua kumpulan lain kecuali komunikasi turut merekodkan peningkatan dan mendorong kepada inflasi keseluruhan iaitu 3.4 peratus dengan subkumpulan bagi Makanan & Minuman Bukan Alkohol menunjukkan peningkatan dan menyumbang antara 2.8 peratus hingga 11.9 peratus.
Pengangkutan juga meningkat 5.4 peratus diikuti Restoran & Hotel (5.0 peratus); Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (3.4 peratus); Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (2.2 peratus) dan Perkhidmatan Rekreasi & Kebudayaan (2.2 peratus).
Sebelum ini, MIDF Research dalam satu nota penyelidikan memberi amaran untuk bersiap sedia menghadapi inflasi makanan yang dijangkakan bakal melonjak berikutan keputusan pihak Kerajaan yang memansuhkan subsidi ayam, telur dan minyak masak botol sewaktu harga bekalan komoditi global sedang meningkat.
Menurut MIDF Research, sekiranya inflasi makanan meningkat melebihi paras semasa tahun ini, tekanan inflasi keseluruhan diramalkan turut meningkat sehingga lebih 3.0 peratus.