Penindasan Muslim: Surat Bantahan PPMM Kepada Duta Besar India Di Malaysia
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 19 Februari 2022 – Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) telah menghantar satu surat bantahan serta peringatan kepada Duta Besar India Di Malaysia susulan pengharaman berhijab yang dikenakan ke atas Muslimah yang berada di institusi-institusi pendidikan di India.
BACA: Ceroboh Tanah Organisasi Islam, Kuil Minta Pampasan – Wan Asshima Kamaruddin
BACA: Sami India Seru Bunuh Umat Islam Dalam Sidang Kemuncak
BACA: Pelampau Hindutva Berpesta Hancurkan Kubur Umat Islam
“Baru-baru ini, dilaporkan bahawa Karnataka, yang terletak di Selatan India telah mengharamkan pelajar-pelajar Muslimah dari memakai hijab di kolej-kolej, yang menyebabkan seorang pelajar Muslimah, Muskan Khan diancam dan diganggu oleh sekumpulan puak pelampau, disebabkan beliau memakai hijab sebagai sebahagian dari identiti Islamnya, dalam kawasan kolej,” kata Pengerusi PPMM, Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar dalam notis yang dihantar.
Berikutan serangan Islamofobia yang semakin menjadi-jadi itu, PPMM sebagai sebahagian dari komuniti antarabangsa mahu mengingatkan kepada kerajaan India bahawa mereka bertanggungjawab menamatkan polisi-polisi bersifat Islamofobik dan Islamofobia secara umumnya selaras dengan resolusi No A/HRC/RES/16/18, Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2011.
Antara perenggan yang terkandung dalam resolusi tersebut yang bertajuk “Memerangi Sikap Tidak Bertoleransi, Stereotaip Negatif dan Stigma Terhadap, dan Diskriminasi, Hasutan Kepada Keganasan dan Keganasan Terhadap Orang Berdasarkan Agama Atau Kepercayaan”, ia “menyeru semua Negara untuk “mengambil langkah yang berkesan untuk memastikan pegawai awam… tidak mendiskriminasi seseorang individu atas dasar agama atau kepercayaan”.
Selain itu, resolusi itu juga “menyeru Negara untuk membuat usaha yang kuat untuk menentang diskriminasi berdasarkan agama”, tambah Dato’ Zainul Rijal.
Sehubungan itu, PPMM menggesa kerajaan India untuk mematuhi resolusi yang diterima pakai oleh Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tersebut dan segera mengambil semua langkah yang diperlukan dalam memastikan keselamatan dan perlindungan masyarakat minoriti Islam di India itu.
Mahkamah Tinggi India baru-baru ini mengarahkan gadis dan wanita Islam di institusi pendidikan di India untuk menanggalkan hijab mereka sebelum masuk ke kawasan sekolah/kampus.
Menurut mahkamah, pelajar Muslimah yang menghadiri kelas dilarang memakai hijab sehinggalah keputusan lengkap terhadap petisyen larangan berhijab bagi pelajar Muslimah dikeluarkan.