Tempatan

Peniaga Masih Jual Minyak Masak RM45 Ke Atas – CAP

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

GEORGETOWN, 20 Ogos 2022 – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendapati masih ada segelintir peniaga yang melanggar arahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan menjual minyak masak botol 5kg dengan harga siling lama, RM45.29 berbanding RM34.70.

CAP dalam kenyataannya menggesa pihak KPDNHEP agar segera mengambil tindakan terhadap peniaga yang menjual minyak masak dalam botol pada kadar melebihi harga siling yang telah ditetapkan oleh Kerajaan.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader memaklumkan, minyak masak botol 2kg pula telah dijual pada harga RM18.15 yang sepatutnya RM14.70 pada harga siling.

“CAP mendesak tindakan tegas oleh Kerajaan supaya kumpulan peniaga yang tidak bertanggungjawab ini tidak mengeksploitasi pengguna,” ujar Mohideen terhadap peniaga yang memberi alasan terpaksa menjual minyak masak botol pada harga tinggi kerana mereka perlu menghabiskan stok lama yang dibeli pada harga tinggi sebelum keputusan harga siling bagi minyak masak botol itu dibuat.

“Adakah pengusaha perniagaan akan terus menjual minyak masak pada harga yang lebih rendah sehingga stok sedia ada mereka habis jika kerajaan memutuskan untuk menaikkan harga bulan ini?” soalnya.

Pada 8 Ogos lalu, Kerajaan telah menetapkan harga harga siling minyak masak sawit tulen tidak bersubsidi pada RM34.70 bagi botol 5kg.

Harga minyak masak akan ditetapkan secara bulanan dan diumumkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: