Tempatan

Penguasaan Bahasa Melayu Satu Langkah Mundur – Rafidah Aziz

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 29 Mac 2022 – Tumpuan untuk memartabatkan bahasa Malaysia merupakan satu langkah yang mundur dan tidak membantu rakyat Malaysia untuk maju dalam dunia moden, ujar bekas Menteri Kabinet Tan Sri Rafidah Aziz.

Ahli politik veteran itu mengkritik keputusan kerajaan yang menekankan pemerkasaan bahasa Melayu, termasuk memaksa pelajar asing agar mempelajari bahasa Melayu.

“Janganlah kita salah letak nasionalisme kita. Penguasaan bahasa bukanlah perkara yang paling penting, tetapi apa yang anda ungkapkan dan sampaikan.”

“Walaupun kamu pandai berbahasa Melayu dan pandai berpidato atau berpantun, tetapi isi kandungan yang kamu sampaikan itu tiada apa, apa gunanya,” kata Rafidah dalam satu sidang media di sini.

Menurutnya, kualiti daripada apa yang kita katakan dan lakukan adalah lebih penting berbanding bahasa tersebut.

“Bahasa Inggeris adalah bahasa antarabangsa yang diiktiraf, jadi mengapa sebaliknya kita undur dan mundur dengan menekankan bahasa Melayu? Saya tidak faham ini,” tambahnya lagi.

Ujarnya, situasi politik ketika ini yang mendesak agar bahasa Malaysia diperkasakan dan mewajibkan pelajar asing untuk mempelajari bahasa itu tidak sepatutnya dilakukan dan ia sesuatu yang merugikan.

Beliau turut memberi contoh dari industri penerbangan dan maritim yang menggunakan bahasa Inggeris.

“Saya ialah Pengerusi Lembaga Kajian Keselamatan AirAsia X, dan saya telah menemui kes masalah komunikasi antara menara kawalan dan juruterbang.”

“Semuanya kerana orang di menara kawalan mempunyai penguasaan bahasa Inggeris yang lemah,” ujarnya lagi.

“Jadi anda nampak mengapa kualiti komunikasi lebih penting. Dan apabila bahasa antarabangsa dalam banyak industri adalah dalam bahasa Inggeris, anda perlu menguasainya.”

Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini telah menyuarakan beberapa inisiatif mengenai usaha untuk memperkasakan bahasa Melayu antaranya kerajaan akan mewajibkan pelajar asing untuk mempelajari bahasa Malaysia.

Bukan itu sahaja, beliau akan mencadangkan kepada pemimpin Asean berkenaan penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa kedua Asean.

Beliau juga telah mengumumkan bahawa bahasa Malaysia akan digunakan pada majlis rasmi kerajaan di luar negara hanya apabila bahasa Inggeris bukan bahasa kebangsaan negara tuan rumah.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: