Tempatan

Penghidap Kanser Otak, Usus & Tulang Dapat Bantuan Bulanan MUIP

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PAHANG, 14 November 2022 – Mohd Irwan Hussein, 43 tahun, yang disahkan menghidap kanser otak, usus dan tulang, selain ketumbuhan pada leher telah menerima bantuan kewangan bulanan daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman memaklumkan, bantuan RM800 setiap bulan itu membabitkan RM200 baucar bagi mendapatkan susu khas dan barangan keperluan asas di Pasaraya Darul Makmur, manakala RM600 lagi bagi menyediakan lampin pakai buang dan kos perubatan.

Selain bantuan RM800 sebulan yang disediakan bagi menampung perbelanjaan harian, MUIP turut memberikan bantuan sekali bayar sebanyak RM1,000 kepada Mohd Irwan, jelas beliau.

Tambah Dr Asmadi Abdul Rahman, bantuan bulanan tersebut yang akan mula dibayar bulan hadapan, diharap dapat digunakan untuk membeli lampin pakai buang selain kos perubatan diperlukan Mohd Irwan yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori bagi menyara keluarga.

Mohd Irwan menghidap kanser otak dan penyakit lain sejak dua tahun lalu dan kini menjalani rawatan susulan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Hospital Selayang dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) secara berkala.

Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, difahamkan kesihatan Mohd Irwan kini semakin memuaskan selepas sesi keempat kemoterapi dilakukan di HTAA minggu lalu.

“Kita akan memantau perkembangan tahap kesihatan Mohd Irwan dari semasa ke semasa, sekiranya perlu bantuan tambahan akan disediakan bagi meringankan beban keluarga berkenaan.”

Menurut isteri Mohd Irwan, Hasnita Shamsul Bahri, 40 yang begitu tabah menjaga Mohd Irwan sejak suaminya itu disahkan mengidap pelbagai penyakit kronik, penglihatan suaminya kini semakin tidak jelas dan anggota badannya juga tidak kuat disebabkan kanser otak.

Ibu kepada tiga orang cahaya mata itu juga memaklumkan, suaminya turut mudah mengalami sawan hingga menyebabkannya terjatuh sekiranya tidak segera dibantu.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: