Antarabangsa

Pengharaman Tudung: Kuil Larang Peniaga Muslim Buka Gerai Semasa Festival

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KARNATAKA, 26 Mac 2022 – Peniaga Muslim di Karnataka dilarang dari membuka kedai sewaktu festival tahunan diadakan di kawasan kuil susulan dari keputusan Mahkamah Tinggi Karnataka yang mengharamkan pemakaian tudung di institusi-institusi pendidikan.

Jawatankuasa penganjur dilaporkan telah tunduk kepada tekanan yang dilakukan oleh kumpulan Hindu sayap kanan untuk mengecualikan kedai milik orang Islam.

Ramai pekedai Muslim menurunkan shutter kedai sebagai tanda protes selepas Mahkamah Tinggi Karnataka mengekalkan pengharaman tudung di institusi pendidikan, lapor Indianexpress.

Tambah portal itu, penganjur festival tahunan di Kuil Mahalingeshwara telah menyekat komuniti Islam dari menyertai acara lelongan yang dijadualkan berlangsung pada 31 Mac ini.

Jemputan yang diberikan dengan jelas menyatakan bahawa hanya orang Hindu sahaja yang dibenarkan mengambil bahagian dalam acara tersebut.

Perkara yang sama berlaku di Kuil Hosa Marigudi, daerah Udupi. Pihak kuil di sana enggan memperuntukkan bahagian kedai untuk komuniti Islam dalam satu lelongan yang diadakan pada 18 Mac untuk festival tahunan.

Menurut Ramesh Hegde, Presiden Jawatankuasa Pentadbiran Kuil, mereka meluluskan resolusi membenarkan hanya penganut Hindu sahaja menyertai lelongan kedai.

Setiausaha Persatuan Penjaja dan Peniaga Daerah Udupi Mohammed Arif berkata, situasi sedemikian tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Terdapat kira-kira 700 ahli berdaftar di mana 450 daripadanya beragama Islam. Kami tidak dapat menjalankan sebarang perniagaan selama dua tahun lepas kerana COVID-19. Kini apabila kami mula menjana pendapatan semula, kami diketepikan oleh jawatankuasa kuil,” ujarnya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Karnataka memutuskan bahawa pemakaian tudung adalah tidak wajib dalam Islam.

“Kami berpendapat bahawa pemakaian tudung oleh wanita Islam tidak menjadi sebahagian daripada amalan agama yang penting dalam akidah Islam,” kata mahkamah.

Berikutan keputusan ini, kumpulan Hindu menegaskan bahawa mereka mahu pengharaman tudung diluaskan ke seluruh negara India, bukan hanya terhenti di Karnataka sahaja.

“Kita adalah negara Hindu dan kita tidak mahu melihat apa-apa jenis pakaian agama di institusi pendidikan negara,” kata Rishi Trivedi, Presiden Kumpulan Hindu, Akhil Bharat Hindu Mahasabha.

Leave a Reply

Back to top button