Tempatan

Penggunaan Vaksin AstraZeneca: Malaysia Tunggu Keputusan EMA

Jangan lupa sertai Telegram, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 8 April 2021 – Malaysia akan memutuskan sama ada akan meneruskan penggunaan vaksin AstraZeneca selepas menerima hasil dapatan Agensi Perubatan Eropah (EMA) mengenai vaksin tersebut, lapor sebuah portal tempatan.

Menurut Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin, laporan oleh agensi Kesatuan Eropah (EU) itu akan menentukan sama ada penggunaan vaksin itu ada kaitan dengan pembekuan darah (thrombosis).

“Kami akan menentukan sama ada untuk meneruskannya atau kami meneruskannya (tetapi) dengan berhati-hati.”

Jelas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu lagi, Malaysia masih mempunyai masa untuk membuat keputusan memandangkan vaksin AstraZeneca datang dari kemudahan COVAX hanya pada bulan depan.

Beliau berkata isu penggunaan vaksin AstraZeneca turut dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV), beberapa hari lalu.

Menurut catatan twitter EMA, taklimat media mengenai kesimpulan oleh Jawatankuasa Keselamatan EMA berhubung kajian semula kaitan AstraZeneca dengan darah beku dijadualkan jam 4 petang Waktu Eropah Tengah (CET) hari ini atau jam 10 malam waktu Malaysia.

Setakat ini, Berlin dan Kanada memberhentikan pemberian vaksin COVID-19 AstraZeneca kepada rakyatnya yang berusia bawah 55 tahun dan 60 tahun.

Afrika Selatan secara terang-terangan menolak vaksin itu dan lebih puluhan negara Kesatuan Eropah (EU) pula menghentikan suntikan sejak pertengahan Mac sebelum memulakannya semula bersama syarat usia yang ketat.

Perancis mengehadkan suntikan terhadap mereka berusia lebih 55 tahun manakala Sepanyol pula di bawah usia 65 tahun.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button