Tempatan

Penggunaan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Rasmi Penting Dalam Memelihara Identiti Kebangsaan – GPMS

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 27 Oktober 2023 – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung menekankan bahawa penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi adalah signifikan dalam memelihara identiti kebangsaan.

Presidennya, Muhd Fazreen Ismadi dalam satu kenyataan berkata selain dapat mengukuhkan perpaduan dalam kalangan pelbagai rakyat, ia juga membantu mewujudkan kesan positif dalam bidang pendidikan, pekerjaan dan sosial serta memastikan keadilan dalam akses kepada perkhidmatan Kerajaan.

Malah, GPMS juga percaya bahawa penggunaan Bahasa Melayu dalam surat rasmi adalah penting untuk memastikan kejelasan dan integriti komunikasi Kerajaan serta mempromosikan kepentingan bahasa kebangsaan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“GPMS komited untuk menyokong usaha-usaha yang bertujuan untuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam pentadbiran negara,” katanya memetik kepada kenyataan yang sama.

Kenyataan beliau itu adalah bagi merujuk kepada tindakan tegas YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam semua surat rasmi negara di mana ia merupakan langkah penting bagi memelihara kedaulatan dan kedudukan bahasa kebangsaan.

Sehubungan itu, GPMS menzahirkan harapan agar usaha tersebut terus diperkukuh dan diteruskan demi masa depan Malaysia yang lebih bersatu dan maju.

“Kendatipun Malaysia yang Merdeka hampir 7 dekad namun rakyat masih terpinga-pinga dengan ketaatan terhadap Bahasa Melayu dalam urusan harian hinggalah kepada surat rasmi kerajaan. Sepatutnya kita perlu tegas dan memberi amaran kepada mana-mana pihak yang sengaja mengamalkan sikap sambil lewa dan tidak patuh kepada Perlembagaan Persekutuan,” tegasnya mengakhiri kenyataan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: