Penggubal Undang-Undang US Gesa Akses Perbankan Sama Rata Untuk Umat Islam
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
WASHINGTON, 07 Disember 2022 – Penggubal undang-undang Amerika Syarikat (AS) menggesa pengatur perbankan negara itu agar memberi akses perbankan sama rata kepada umat Islam di sana.
Menerusi sebuah surat, penggubal undang-undang yang terdiri daripada Ahli Kongres Ilhan Omar, Senator Elizabeth Warren, Senator Ed Markey dan anggota kongres Rashida Tlaib dan Joyce Beatty telah mendesak beberapa ketua pengatur perbankan untuk menilai semula dasar yang telah mendiskriminasi rakyat Amerika beragama Islam dan komuniti pelarian.
Intipati surat menyebut, “Ramai individu, perniagaan dan badan amal AS menjadi mangsa kepada dasar dan amalan diskriminasi yang kelihatan mengehadkan akses mereka kepada perkhidmatan kewangan disebabkan agama atau negara asal mereka.”
Media antarabangsa turut mengatakan bahawa menghantar wang ke luar negara atau mengumpul wang untuk badan amal menjadi sukar bagi sesetengah umat Islam di AS kerana wujudnya undang-undang sekatan.
Bukan itu sahaja, peningkatan aplikasi pembayaran mudah alih termasuk Venmo menyebabkan pembayaran atau transaksi yang menggunakan perkataan seperti ‘Palestin’ akan disekat.
Walaupun Venmo berhujah mempertahankan bahawa mereka menyekat transaksi berdasarkan polisi sekatan yang dikenakan Pejabat Kawalan Aset Asing Jabatan Perbendaharaan, orang Islam menekankan bahawa syarikat itu bukan hanya menyekat nama negara sasaran sekatan.
Pada 2019, seorang wanita di Brooklyn berkata transaksinya telah disekat kerana menggunakan perkataan ‘al-Aqsa’, iaitu nama sebuah restoran Bangladesh. Manakala pada tahun berikutnya, transaksi Venmo seorang wanita turut disekat kerana menggunakan ‘Ameen’ dalam keterangan.
Dalam pada itu, surat tersebut menegaskan, “Perbankan melalui badan amal/bukan untung dan ‘perbankan orang Islam’ tidak menyalahi undang-undang dan layanan sedemikian mesti dihentikan.”
“Sebagai pegawai yang dipilih, ia menjadi tanggungjawab kami untuk memperkuat suara pengundi kami yang tidak berdaya untuk menghadap bank besar dan pengatur yang tidak bertanggungjawab,” tambah mereka.
Mereka turut menyeru ketua-ketua perbankan untuk mengeluarkan langkah pembetulan yang bakal dilaksanakan dan meminta maklum balas dalam tempoh 30 hari.