Tempatan

YDPA Ucap Tahniah kepada Nur Athirah, Putera Aiman

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada Nur Athirah Mohamad Zaini dan Putera Aiman Abdul Rasyid di atas kejayaan mereka tersenarai dalam kedudukan kedua dunia selepas memperoleh markah tinggi bagi peperiksaan Certified Accounting Technician (CAT).

Menerusi satu hantaran di akaun Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda turut berbangga atas kejayaan kedua-dua penuntut berkenaan dalam menjulang dan mengharumkan nama Malaysia.

Dalam hantaran tersebut, baginda juga bertitah, dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di persada antarabangsa.

Nur Athirah adalah anak jati Pahang dan penuntut di INTEC Education College di Shah Alam, Selangor, manakala Putera Aiman pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Shah Alam.

Baginda turut menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Nur Athirah dan Putera Aiman serta mendoakan semoga mereka dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan.

Semoga dengan kejayaan Nur Athirah dan Putera Aiman, menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat, khususnya golongan belia untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kecemerlangan di dalam bidang masing-masing.

Nur Athirah dan Putera Aiman, masing-masing berusia 19 tahun berkongsi tempat pertama di Malaysia dan kedua di dunia bagi kertas Maintaining Financial Records (FA2).

Mereka menduduki peperiksaan itu pada bulan Disember lalu.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: