Tempatan

Pengerusi BERTINDAK Seru Rakyat Sokong Pemansuhan Sekolah Vernakular

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

SELANGOR, 28 November 2021 – “Kaum Melayu telah banyak berkorban dengan kaum-kaum lain. Rakyat yang sayangkan Malaysia, perlu bangun mempertahankan sekolah-sekolah kebangsaan di Malaysia,” kata Pengerusi Badan Bertindak Bandar Kinrara (BERTINDAK) Haji Mohamad Haron Haji Mohamad Sidik.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu ‘Kes Mencabar Keabsahan dan Kedudukan Sekolah Vernakular di sisi Perlembagaan Persekutuan di Malaysia’.

Menurutnya, apabila dua parti komponen BN, iaitu MIC dan MCA terlibat, sudah pasti UMNO akan berdiam diri kerana takut hati sahabat-sahabat mereka akan terluka.

“Satu sahaja cara yang mudah, beri mesej jelas kepada UMNO supaya pentingkan Melayu, perpaduan kaum dan patuhi Perlembagaan Persekutuan Malaysia.”

“Jika UMNO berdegil, kita perlu pulaukan UMNO dalam PRU-15 nanti dan kita tidak akan teragak-agak lagi untuk berbuat demikian,” tegasnya.

Kata beliau lagi, kita terpaksa menghukum bukan kerana benci UMNO tetapi sikap berdiam diri UMNO dan kita perlu berani demi Keluarga Malaysia yang aman, damai dan tenang.

Haji Mohamad Haron selanjutnya menegaskan bahawa UMNO juga perlu menunjukkan sokongan 100 peratus untuk memansuhkan sekolah vernakular dan membantu perjuangan Buzze Azam dan rakan-rakan lain termasuk Pengerusi PEMBELA Tuan Haji Aminuddin Yahaya dan bersama ISMA, GPMS, MAPPIM serta GAPENA yang dihantar sebagai ‘plaintif’ secara rasmi dalam usaha untuk mengubah negara ke arah sistem satu aliran melalui undang-undang tertinggi negara, iaitu Perlembagaan Persekutuan.

Ujarnya lagi, “Kita semua dalam pasukan yang sama, bersama barisan para peguam seperti Tuan Haniff Khatri, Tuan Rahim Sinwan, Tuan Aidil Khalid, Tuan Khairul Azam (Buzze Azam), Datuk Zainul Rijal, dan ramai lagi yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.”

“Rakyat perlu hidup menggunakan satu Bahasa Kebangsaan dan satu aliran sekolah sahaja.”

“Kita semua sama-sama membesar untuk mempertahankan bumi berdaulat ini tidak kira apa pun kaum, baru kita boleh bangga yang kita ini rakyat Malaysia,” ujarnya.

Beliau seterusnya berkata jika pemimpin-pemimpin menjadi batu api maka sampai bila-bila pun negara ini tidak akan aman dan perpaduan kaum tidak akan tercapai.

“Melayu sayang mereka tetapi mereka langsung tak sayang Melayu.”

Beliau kemudiannya menasihatkan supaya rakyat bertegas dan membuat pilihan serta menyokong pasukan ini demi Malaysia.

“Semoga Allah SWT lindungi Malaysia dan memberikan kemenangan kepada Buzze Azam dan pasukannya. Aamiin,” kata Haji Mohamad Haron dengan penuh harapan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: