Tempatan

Pengecualian Cukai Pasang Solar Panel, Dorong Penggunaan Tenaga Boleh Baharu

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

JOHOR BAHRU, 23 September 2022 – Pengecualian cukai peribadi untuk pemasangan panel solar dipercayai dapat memberi galakan buat masyarakat untuk menggunakan tenaga boleh baharu (TBB) di negara ini.

Oleh itu, Kerajaan digesa memberikan pengecualian cukai peribadi untuk pemasangan panel solar dalam Bajet 2023 yang akan dibentang awal bulan depan.

“Sempena dengan pembentangan belanjawan atau Bajet 2023 bulan depan, Persatuan Industri Fotovoltaik Malaysia (MPIA) telah mengemukakan cadangan melalui satu memorandum khas kepada Kementerian Kewangan.”

“Kami berharap pihak Kerajaan akan mempertimbangkan cadangan ini yang mana kami percaya ia akan menjadi pemangkin kepada penggunaan tenaga boleh baharu sesuaian dengan misi dan sasaran Kerajaan,” kata Naib Presiden MPIA, Datuk Dr. Guntor Tobeng.

Menurutnya, cadangan itu termasuk pengurangan cukai peribadi sebanyak RM50,000 dalam tempoh lima tahun untuk pemasangan solar panel selain pengecualian SST dan duti import untuk perniagaan berkaitan panel solar dan sistem bateri simpanan kuasa.

Katanya, insentif cukai seperti itu akan menggalakkan lebih ramai individu dan syarikat beralih kepada TBB yang mana ia akan membantu mereka menjimatkan kos operasi jika berlaku kenaikan tarif elektrik.

Lagi pula baginya, dengan galakkan dari Kerajaan, diharapkan dapat memberi sumbangan ke arah merealisasikan sasaran Kerajaan untuk mencapai aspirasi Negara Sifar Karbon menjelang 2050.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: