Pengawal Revolusioner Iran Rampas 2 Kapal Tangki Greek, Kutuk Respons Jerman Dan Perancis
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KHAMIS, 02 Jun 2022 – Jurucakap Kementerian Luar Iran, Saeed Khatibzadeh mengecam respon Perancis dan Jerman yang disifatkan sebagai campur tangan yang tidak wajar dalam isu rampasan kapal tangki Greece oleh Pengawal Revolusioner Iran, menurut laporan ekathimerini.com.
Beliau turut mengecam fakta Perancis dan Jerman memprotes rampasan “sah”, sedangkan kedua-dua negara tersebut, dakwanya, berdiam diri dalam kes rampasan yang “tidak sah” ke atas kapal yang membawa minyak Iran.
Kes rampasan “tidak sah” yang dimaksudkan Saeed Khatibzadeh adalah merujuk kepada Greece yang melakukan tindakan merampas kapal yang mengandungi minyak Iran atas permintaan oleh Amerika Syarikat sebelum ini.
Beberapa minggu selepas rampasan oleh Greece iaitu pada 27 Mei 2022, Iran telah membuat operasi rampasan ke atas kapal tangki Greece dan anak kapalnya.
Pengawal Revolusioner telah mewajarkan penahanan kapal-kapal tangki Greece tersebut dengan memberi sebab pelanggaran undang-undang yang dilakukan mereka tanpa memberi perincian berkenaan pelanggaran tersebut.