Tempatan

Penganggur Di Malaysia Berjaya Dikurangkan Kepada 671 Ribu Orang

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PUTRAJAYA, 15 Mei 2022 – Bilangan penganggur di Malaysia berjaya dikurangkan kepada 671.2 ribu orang pada suku pertama 2022 bersamaan 4.1%, iaitu paras terendah sejak suku kedua tahun 2020.

Berikut merupakan sebahagian intipati kenyataan media Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) baru-baru ini.

Beliau berkata, pertumbuhan keluaran dalam negeri kasar (KDNK) bagi suku pertama tahun 2022 menunjukkan peningkatan 5.0% iaitu jauh lebih baik daripada jangkaan majoriti agensi penganalisis ekonomi.

Jelasnya, antara petunjuk kepada peningkatan tersebut termasuklah pelaburan langsung asing (FDI) yang mencatat kenaikan tiga kali ganda dalam aliran masuk bersih iaitu RM24.4 bilion berbanding hanya RM8.5 bilion pada suku pertama tahun 2021.

Dalam pada itu, pihaknya menjangkakan pencapaian ekonomi negara akan terus kukuh pada suku kedua tahun ini lanjutan langkah kerajaan membuka semula sempadan negara dan peralihan ke fasa endemik yang telah bermula pada 1 April lalu.

“Kerajaan menjangkakan ketibaan seramai dua juta pelancong asing pada tahun ini dan menyumbang sebanyak RM8.6 bilion kepada ekonomi negara,” tambah beliau.

Namun begitu, Dato’ Sri Mustapa memaklumkan bahawa ekonomi negara masih berhadapan dengan risiko luar seperti konflik Rusia-Ukraine yang telah berlanjutan hampir 3 bulan dan menjejaskan rantaian bekalan global serta kenaikan harga minyak mentah dan komoditi yang memberi tekanan kepada peningkatan inflasi.

Selain itu, sekatan pergerakan China untuk membendung wabak COVID-19 juga mempengaruhi permintaan eksport negara memandangkan China merupakan rakan dagangan utama Malaysia.

Oleh hal yang demikian, kerajaan akan terus memperkuatkan usaha-usaha seperti mempercepatkan pembaharuan dan transformasi struktur ekonomi, menggalakkan pelaburan swasta domestik serta merancakkan aktiviti peningkatan jaminan bekalan makanan negara.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: