Tempatan

Pengalaman 40 Tahun Pakcik Zakaria Hasilkan Lebih 20,000 Blok Batik

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KOTA BHARU, 23 Februari 2022 – Mula menceburi pembuatan blok batik sejak 1978, pengalaman Zakaria Che Ahmad selama 40 tahun telah menjadikan beliau sebagai individu hebat dalam kesenian pembuatan blok batik apabila beliau telah berjaya menghasilkan lebih 20,000 blok batik cetak.

Beliau yang berumur 65 tahun dan juga bapa kepada tujuh cahaya mata di Kampung Senang, Kota Jembal itu bercerita, pada mulanya beliau hanya meminati kesenian tulisan khat namun Institut Kraf Negara hanya menawarkan bidang pembuatan blok sahaja.

BACA: Pameran Solo Kedua Raja Permaisuri Agong

BACA: TTAHM Online: Raja Permaisuri Agong Rai Pembukaan 100 Kedai

BACA: Muzium Bukan Sahaja Pusat Tarikan Tetapi Juga Institusi Ilmu – Raja Permaisuri Agong

“Maka saya teruskan juga belajar sampailah saya tamat dan buka bengkel sendiri. Dalam masa yang sama saya juga diminta untuk menjadi tenaga pengajar di beberapa lokasi seluruh negara bagi memberi pendedahan mengenai pembuatan blok ini,” katanya.

Harga jualan blok batik yang ditetapkan adalah berdasarkan jenis corak tempahan seperti bunga raya, bunga tumpat, pucuk rebung, gunung, pengapit dan pucuk buluh.

“Rata-ratanya bermula dari RM50 hingga RM500. Biasanya pelanggan akan telefon saya untuk membuat tempahan. Mereka akan hantar gambar bunga atau corak yang mereka mahu. Saya akan lukis terlebih dahulu dan hantar kepada mereka. Bila mereka setuju baru saya lakukan langkah seterusnya.”

“Selepas itu saya akan mulakan guntingan tembaga mengikut corak yang pelanggan mahukan. Selepas selesai semua, saya akan hantar kepada mereka dan berikan tunjuk ajar bagaimana mahu menjaga blok berkenaan,” jelasnya.

Menurutnya, tempahan yang diterima bukan sahaja untuk dijadikan cenderamata tetapi juga untuk simpanan dan kegunaan pembuatan batik.

Beliau turut menerangkan bahawa penghasilan blok berkenaan mengambil masa tiga hingga lima hari berdasarkan jenis dan corak yang diminta pelanggannya, dan jika ia dijaga dengan penjagaan yang betul ia boleh bertahan lebih 40 tahun lamanya.

“Tidak ramai berkemahiran dalam pembuatan blok batik terutama dalam kalangan anak muda apabila memerlukan kemahiran serta kesabaran tinggi untuk menyiapkannya,” ulas beliau.

Beliau turut menzahirkan harapan beliau supaya pekerjaan ini diteruskan agar tidak luput dek zaman dan sentiasa mempunyai pelapis walaupun ia bukan pekerjaan yang popular.

Sementara itu, Hari Kraf Negara 2022 bertempat di Kompleks Kraf Kuala Lumpur telah bermula pada hari ini hingga 7 Mac ini. KDYMM Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan mempamerkan lebih 30 helai koleksi peribadinya yang mengetengahkan batik cantingan tangan dan cetakan blok. Pameran kali kedua ini bertemakan Sentuhan Permaisuri: Exploitasi dan Experimentasi Batik Inderapura.

Leave a Reply

Back to top button