Antarabangsa

Pengacara Dikecam Majlis Ulama Kerana Jemput Pasangan LGBT Bercakap

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

JAKARTA, 11 Mei 2022 – Seorang pengacara menerima kecaman daripada Majlis Ulama Indonesia (MUI) kerana menjemput pasangan LGBT ke dalam podcastnya baru-baru ini.

Deddy Corbuzier, pemilik podcast tersebut telah menjemput pasangan LGBT Ragil Mahardika dan Frederik Vollert sebagai tetamu undangan dan menyiarkan video podcast bertajuk ‘Tutorial Menjadi Gay…’ di saluran YouTubenya.

Video tersebut mendapat kritikan banyak pihak termasuklah Majlis Ulama Indonesia. Netizen juga mengecam tindakan Deddy Corbuzier menggunakan hashtag #UnsubscribePodcastCorbuzier di media sosial.

“Saya berharap tuan podcast itu faham bahawa Islam melarang dan mengutuk LGBT. LGBT harus dihentikan bukan ditoleransi,” kata Cholil Nafis, ketua MUI bidang Dakwah dan Ukhwah menerusi ciapan Twitter beliau.

Selain itu, Wakil Ketua Umum MUI, Buya Anwar Abbas turut mengatakan bahawa tingkah laku golongan tersebut tidak sesuai dengan nilai 6 ajaran agama yang diperakui Indonesia, iaitu Islam, Kristian, Katolik, Hindu, Buddha dan Konghucu.

“Saya sangat kesal kenapa Deddy Corbuzier menjemput mereka. Perkara ini memberi kesan yang amat buruk kepada akhlak dan pembangunan mental anak bangsa.”

Beliau turut menegaskan, perilaku LGBT tidak termasuk dalam hak asasi manusia dan bertentangan dengan hukum alam, selain memusnahkan kehidupan manusia di muka bumi.

Terkini, CNN Indonesia melaporkan bahawa Deddy Corbuzier telah memohon maaf atas tindakannya sekaligus menarik balik video tersebut dari saluran YouTube miliknya.

 

Leave a Reply

Back to top button