NGO

Pengabaian Terhadap Suri Rumah Di Era Pandemik – Teraju Nilam NAJM

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

1. Era pandemik ini menyaksikan suri rumah berhadapan dengan pelbagai kepayahan sehingga menyebabkan mereka bergelut dengan pelbagai penyakit mental seperti panic attack, anxiety dan depression atau mental breakdown. Tersekat di rumah tidak boleh ke mana-mana selama hampir 2 tahun lockdown ini berlangsung amat menyakitkan. Hiburan suri rumah yang sederhana seperti pergi ke pasar, pulang ke kampung melawat ibu bapa atau pergi ke taman permainan bersiar bersama anak-anak tidak boleh dilakukan. Nampak remeh bukan? Tetapi sebenarnya tidak. Jika suri rumah ini tidak lagi mempunyai semangat untuk menguruskan anak dan keluarga akibat tekanan melampau disebabkan lockdown ini, kita akan dapat melihat satu keruntuhan sosial yang dahsyat akan berlaku.

2. Tergerak saya untuk mencadangkan kepada pengurusan NAJM untuk dibawa ketengah isu survival suri rumah ini walaupun ketika ini pucuk pimpinan parti-parti politik sedia ada sedang sibuk mencalonkan bakal Perdana Menteri ke-9. Bagi suri rumah, ada atau tidak seorang Perdana Menteri, mereka tetap dengan kerja-kerja menguruskan rumah tangga dari pagi hingga malam.

3. Suri rumah telah menjadi tulang belakang negara dalam mendidik generasi pelapis negara, melayan makan minum keluarga, mententeramkan si suami yang mungkin sedang dibuang kerja, bekerja 24 jam tanpa gaji, berkorban tanpa had demi kasih sayang kepada keluarga. Persoalannya sejauh mana golongan ini diberikan perhatian oleh kementerian berkaitan wanita dan pemimpin-pemimpin sedia ada?

4. Jarang sekali atau hampir tiada bantuan khas untuk suri rumah yang sedang bergelut untuk menyediakan makanan untuk keluarga. Dengan suami dibuang kerja, simpanan semakin menyusut, tekanan tidak dapat berjumpa ibu bapa di kampung telah menyebabkan wanita-wanita ini sedang mengalami keletihan melampau.

5. Saya ada terbaca tentang luahan suri rumah yang mempunyai simpanan akhir dalam ratusan ringgit sahaja mengalami dilema sama ada duit tersebut akan digunakan untuk membeli barangan dapur atau gajet untuk kemudahan pembelajaran atas talian (PdPR) anak-anak.

6. Ada juga suri rumah yang terpaksa menggadaikan cincin perkahwinan mereka hanya untuk membeli barang keperluan dapur, susu dan lampin anak. Begitulah gambaran kesusahan yang melanda satu golongan yang tidak dianggap penting oleh kebanyakan pihak.

7. Teringat saya akan kisah Saidina Umar, Amirul Mukminin yang adil itu yang terdengar tangisan anak-anak yang kelaparan di padang pasir sementara ibunya sedang mengacau sebuah periuk yang mengandungi batu. Lalu tergesa-gesalah Saidina Umar memikul guni-guni gandum untuk dibawa kepada ibu tersebut, memasakkan dan menyuapkan sendiri makanan itu ke mulut anak-anak wanita itu. Lalu wanita itu yang tidak mengetahui di hadapannya itu adalah Khalifah Umar dengan lantang mengatakan kepada Saidina Umar bahawa “Engkaulah yang paling layak mentadbir negara ini bukannya Umar”. Tidakkah kisah ini mendatangkan kesan kepada jiwa-jiwa pemimpin kita?

8. Suka pihak NAJM ingatkan bahawa golongan wanita mempunyai kuasa menentukan jatuh bangun pakatan politik yang ada kerana wanita membentuk separuh daripada kuasa mengundi. Amat tidak cerdik sekiranya pemimpin politik yang berangan-angan untuk diangkat pada pilihan raya akan datang memandang rendah kepada kumpulan suri rumah ini.

9. Pemerhatian NAJM terhadap corak dan gaya wanita mengulas akan sesuatu isu menunjukkan wanita dilihat lebih matang, tenang, dan cenderung kepada kebenaran dan bukan penyembah ego sepertimana yang biasa dilakukan oleh golongan pemimpin lelaki ini. Jadi, kemungkinan untuk negara mempunyai wanita menduduki kerusi Perdana Menteri amatlah cerah sekiranya keseluruhan wanita ini termasuk suri rumah bersatu untuk menolak Perdana Menteri daripada kalangan lelaki kerana terbukti pemimpin-pemimpin lelaki tidak mampu menguruskan negara ini dengan baik.

10. Suka juga kami menyeru kepada golongan suri rumah ini untuk bersuara dengan lantang dan menggunakan semangat keibuan mereka untuk membawa pemerintahan negara kepada jalan yang lurus lagi benar kerana kelak jika golongan wanita berdiam diri, kita akan menanggung lebih banyak penderitaan dan anak-anak kita akan diwariskan negara yang caca marba ini.

11. Jangan takut dengan ancaman wanita tidak boleh menjadi pemimpin kerana tiada larangan dalam Perlembagaan kita termasuk undang-undang tubuh kerajaan negeri untuk wanita menjadi Perdana Menteri atau Menteri Besar.

12. Didiklah anak-anak perempuan kita untuk menjadi pemimpin-pemimpin bijaksana yang penuh merendahkan diri sepertimana terdahulunya leluhur kita pernah membuktikan. Bacakan anak-anak perempuan kita akan semangat Cik Siti Wan Kembang yang pernah memenggal kepala Raja Rama Khamhaeng dalam pertempuran yang sungguh dahsyat dengan tentera Sukhothai.

13. Riwayatkan juga kepada anak-anak perempuan kita akan kisah masyhur Laksamana Keumalahayati mengetuai 2000 ahli pasukan yang dinamakan Inong Balee berperang dengan beraninya menentang pasukan laut Belanda dan membunuh Komander Belanda Cornelis De Houtman dalam pertempuran satu lawan satu.

14. Sesungguhnya sebelum Musa diangkat menjadi nabi untuk melawan kebongkakan Firaun, telah terlebih dahulu berjuangnya ibu Nabi Musa yang menahan perasaan menghanyutkan bayinya di sungai Nil diiringi kakak kepada Nabi Musa yang berlari-lari anak melihat peti yang diletakkan Nabi Musa itu mendarat di istana firaun.

15. Dan sebelum Nabi Muhammad diangkat menjadi nabi telah terlebih dahulu Siti Khadijah yang berulang-alik melalui perjalanan berbatu untuk ke Gua Hira’ menghantar makanan kepada Nabi. Siti Khadijah yang menjadi orang pertama beriman kepada risalah kenabian itu telah menawarkan tulang belulangnya untuk dijual selepas kematiannya sekiranya hartanya telah kehabisan digunakan. Tidak dilupa yang pertama menyusur Nabi Muhammad selepas kewafatannya adalah anak perempuannya, Siti Fatimah yang mulia itu.

16. Justeru, kepada suri rumah yang sedang membaca tulisan ini, anda semua adalah kesayangan negara ini, bertahan selagi boleh. Kita akan menjadi game changer untuk meruntuhkan permainan politik yang memualkan ini, InsyaAllah.

Nadia Aziz
Teraju Nilam
Angkatan Kebangsaan Kesaksamaan Malaysia National Alliance For Justice Malaysia (NAJM)

Mengenai NAJM
Sebuah gabungan Profesional wanita yang ingin membawa Malaysia ke arah Tanah yang aman, tenang dan seimbang.

*Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my*

Leave a Reply

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button