Tempatan

Penerbangan Mencurigakan: TUDM Kesan 16 Buah Pesawat Milik China Masuk Ruang Udara, Kedutaan China Kata Penerbangan Biasa

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

SHAH ALAM, 02 Jun 2021 – Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad mengesahkan pihaknya telah mengesan penerbangan mencurigakan milik China memasuki ruang udara Malaysia pada 31 Mei baru-baru ini.

16 buah pesawat Tentera Udara milik China iaitu People’s Liberation Army-Air Force (PLAAF) itu dikesan memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia, Kota Kinabalu dan menghampiri ruang udara nasional dan dikhuatiri mengancam kedaulatan negara.

Kedutaan Besar China di Malaysia walau bagaimanapun mendakwa tindakan 16 buah pesawat tentera republik itu memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia sebagai latihan penerbangan biasa.

“Menurut undang-undang antarabangsa, kapal terbang tentera China itu hanya menikmati kebebasan penerbangan di ruang udara berkenaan,” dakwa jurucakap kedutaan tersebut.

Dakwanya lagi, tiada apa yang perlu dicurigakan kerana Malaysia dan China adalah ibarat jiran yang mesra.

Penerbangan pesawat-pesawat PLAAF tersebut telah dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada jam 11.53 malam waktu tempatan.

“Pesawat-pesawat tersebut telah dikesan terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika di antara satu sama lain. Formasi panjang tersebut juga telah terbang dengan paten dan haluan yang sama menggunakan satu titik laluan masuk dan keluar,” ujar Jeneral Tan Sri Ackbal.

“Mereka kemudiannya didapati mengubah arah penerbangan di ruang udara Beting Patinggi Ali yang berkepentingan kepada negara.”

Kemudian, menurut beliau, “Mereka seterusnya terbang menghala menghampiri 60 batu nautika daripada pesisir pantai Wilayah Sarawak yang dikhuatiri akan mengancam kedaulatan negara.”

Berikutan kejadian ini, pihak TUDM telah meletakkan pesawat Hawk 208 daripada No. 6 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan dalam keadaan siap sedia melalui Operasi Curiga TUDM.

Jelas Jeneral Tan Sri Ackbal, pemantauan menerusi radar pertahanan udara diteruskan ke atas pesawat-pesawat tersebut di samping beberapa percubaan untuk mengarahkan mereka menghubungi kawalan trafik udara Kota Kinabalu.

Apabila arahan tidak dipatuhi dan didapati melangkaui persempadanan Kota Kinabalu menghala ke ruang udara nasional, TUDM telah melancarkan pesawat-pesawat pemintas pada jam 1.33 petang untuk melakukan identifikasi visual.

“Hasil daripada pemintasan udara yang dilaksanakan, TUDM telah mengenalpasti pesawat-pesawat tersebut adalah daripada jenis llyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20. Pesawat-pesawat jenis ini merupakan pesawat pengangkut strategik dan berupaya melaksanakan pelbagai misi,” katanya.

Tegas beliau lagi, insiden berkenaan merupakan perkara yang serius terhadap ancaman kedaulatan negara dan keselamatan penerbangan berdasarkan kepadatan trafik udara dalam laluan penerbangan (Airways) di Kota Kinabalu.

“Kementerian Luar Negeri telah mengambil maklum tentang perkara ini melalui Kementerian Pertahanan.”

Leave a Reply

Back to top button