Penentang Polisi Bahasa Melayu Tidak Hormat Kedudukan Bahasa Melayu Dalam Negara – Azlinda Baroni NAJM
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 31 Mei 2022 – “Sepatutnya persoalan mengenai penentangan terhadap Bahasa Melayu ini tidak timbul langsung jika semua orang di semua peringkat lapisan masyarakat dan status faham dan hormat kepada kedudukan Bahasa Melayu itu berada di dalam fabrik kemasyarakatan negara kita dan di dalam perundangan negara,” ujar Teraju Baiduri NAJM Puan Azlinda Baroni.
Menurutnya, sepatutnya setiap warganegara Malaysia faham tanggungjawab mereka terhadap menjulangkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Warganegara Rakyat Malaysia dan akan sentiasa mempertahankan Bahasa Rasmi Negara kerana Bahasa Melayu itu ialah cermin dan jati diri setiap warganegara Malaysia.
Jelas beliau, tidak kiralah latar belakang keturunan, tahap pendidikan dan taraf sosio-ekonomi masing-masing, mereka itu tetap rakyat dan warganegara Malaysia maka, menjadi tanggungjawab masing-masing untuk bertutur dan berhubungan di antara satu sama lain dengan Bahasa Melayu.
“Ini satu tanggungjawab dan tanggungjawab ini termaktub dalam undang-undang. Setiap rakyat warganegara Malaysia mesti patuh dan laksanakan tanggungjawab ini,” tegasnya.
Beliau berkata, apabila tidak faham dan tidak hormat kedudukan Bahasa Melayu di dalam konteks perundangan maka wujudlah persoalan penentangan terhadap Bahasa Melayu itu.
“Tidak faham dan tidak hormat sejarah kenegaraan Malaysia itu maka wujudlah penentangan itu,” ujarnya.
Menurut Puan Azlinda lagi, tahun ini ialah tahun dua ribu dua ratus dua puluh dua (2022). Tanah Melayu melepaskan penguasaan pentadbiran residen Inggeris pada tahun seribu sembilan ratus lima puluh tujuh (1957) dengan menggunapakai nama rasmi kenegaraan Tanah Melayu sebagai Malaya.
Selanjutnya, pada tahun seribu sembilan ratus enam puluh tiga (1963) Persekutuan Malaysia terbentuk dengan kemasukan Sabah dan Sarawak. Mengimbas semula bahasa pertuturan sebahagian besar masyarakat dan warganegara kita adalah Bahasa Melayu manakala, bahasa ibunda dan dialek tempatan atau daerah menjadi bahasa pertuturan setempat.
Menurut beliau, apabila meninjau bahasa pengantar di sekolah dan pusat pengajian pula, ianya terbahagi kepada susunan dan peraturan yang dicipta lantas diamalkan oleh pihak pentadbir negara itu sendiri.
Jelasnya, di sektor awam dan pendidikan, Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar rasmi. Manakala, di peringkat sektor swasta pula, rata-ratanya menggunakan Bahasa Inggeris.
Maka, tindak tanduk dan cara berhubungan sebegini sudah berlangsung sejak Malaysia wujud.
Puan Azlinda turut menegaskan, apabila sudah tidak faham dan tidak hormat maka, setiap perkara terkait Bahasa Melayu akan dijadikan persoalan politik, konflik antara kaum, pertelingkahan tentang ada faedah atau tidak kepada ekonomi atau faedah ilmiah atau faedah sains dan teknologi atau faedah pentadbiran dalam sektor kerajaan dan sektor awam.
“Banyaklah perkara tidak munasabah dan tidak waras yang dijadikan bahan perbahasan oleh semua lapisan masyarakat dalam negara ini, sehingga timbul persoalan mengenai penentangan terhadap Bahasa Melayu,” ujar beliau.
Justeru, kepada pihak pentadbir negara dan penguasa serta pihak pembuat dasar negara, silalah tengok dan teliti perkembangan tidak baik ini dari semua sudut kebarangkalian sebab musababnya bagi menjamin kesejahteraan dan kemakmuran negara yang kita cintai ini tetap dipelihara keutuhan asasnya,” jelas beliau mengakhiri kenyataan.