Penduduk Israel Sangat Baik Dan Tel Aviv Ada Masjid – Duta UAE
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
TEL AVIV, 05 Jun 2021 – Duta Emiriah Arab Bersatu (UAE) pertama ke Israel, Muhammad Al-Khaja mendakwa, penduduk Israel sangat baik dan dia amat terkejut melihat Tel Aviv mempunyai masjid, lapor Utusan.com.
“Apabila saya sampai sini, saya terkejut melihat penduduk di sini, mereka sangat baik. Saya tidak sangka melihat masjid berada di Tel Aviv,” katanya.
Selain itu, Muhammad Al-Khaja juga menyatakan harapannya untuk melihat Israel menjadi kuasa terbesar di Asia Barat.
Pengharapan ini dinyatakan menerusi satu rakaman video yang tersebar yang menunjukkan Muhammad Al-Khaja berbual dengan kumpulan pengganas dan paling rasis di Israel, Shas.
Platform pemeriksaan fakta, Tayaqqun mengklasifikasikan kenyataan Muhammad Al-Khaja sebagai ‘mengelirukan’ kerana tiada masjid yang dibina di Tel Aviv kecuali duta besar itu merujuk kepada Masjid Hasan Bek di kota Al-Manshiyyeh yang dipindahkan ke Jaffa.
Masjid itu merupakan sebahagian daripada kota yang mempunyai penduduk dan merupakan antara beberapa bangunan yang terselamat semasa peristiwa Nakbah, 1948.
Pihak berkuasa Israel memerintahkan supaya masjid itu dirobohkan 40 tahun lalu, namun tentangan daripada penduduk Palestin berjaya mengekalkan masjid itu sehingga hari ini.
Tindakan UAE menormalisasikan hubungan dengan Israel pada 14 Ogos 2020 melalui Perjanjian Abraham mendapat kecaman negara-negara Islam.
Perjanjian yang dimeterai melalui panggilan telefon antara Presiden AS, Donald Trump; sekutu rapatnya, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Putera Mahkota UAE, Sheikh Mohammed Zayed itu didakwa kononnya akan membawa perdamaian di Asia Barat.
Sehingga ke hari ini, rejim zionis Israel terus mengusir, menyerang dan membunuh penduduk Palestin di Tebing Barat dan Gaza.
Maydan al-Quds melaporkan, setakat 03 Jun 2021, lebih 7000 warga Baitulmaqdis diancam akan dipindahkan dari bandar Silwan, di selatan Masjid al-Aqsa, sama ada dengan alasan pembinaan kediaman mereka dilakukan tanpa kebenaran atau dakwaan ia dimiliki oleh pendatang Yahudi.