Penduduk Eropah Bimbang Keberkesanan Vaksin COVID-19 AstraZeneca
Jangan lupa join Telegram, Instagram dan Facebook kami bagi mendapatkan berita terkini
LONDON, 22 Mac 2021 – Sebilangan besar penduduk Eropah tidak lagi mempercayai keselamatan vaksin COVID-19 AstraZeneca.
Berdasarkan tinjauan oleh YouGov, sebuah syarikat penyelidikan global berpangkalan di United Kingdom (UK) pada pertengahan bulan ini, sebanyak 55 peratus penduduk Jerman mengatakan vaksin itu sebagai tidak selamat.
61 peratus responden di Perancis pula mengatakan vaksin itu tidak selamat dan terdapat peningkatan dalam kalangan responden di Itali dan Sepanyol yang mengatakan mereka tidak mempercayai suntikan itu.
Ketua data YouGov, Matt Smith berkata, vaksin Oxford/AstraZeneca berdepan reputasi buruk di kalangan negara di benua itu selepas timbul kebimbangan mengenai perlindungan dan kekuatan vaksin AstraZeneca oleh pemimpin di seluruh Eropah.
“Dengan gelombang ketiga jangkitan yang dijangka berlaku di kebanyakan negara di Eropah, semua orang mula menunjukkan kebimbangan jika pemberian vaksin AstraZeneca berakhir dengan kegagalan.”
Walau bagaimanapun, dua pertiga daripada penduduk negara Britain masih berpandangan positif di mana mereka mengatakan vaksin AstraZeneca selamat.
Awal bulan ini, beberapa negara EU menangguhkan penggunaan vaksin AstraZeneca selepas berlaku puluhan kes terpencil pembekuan darah dan pendarahan otak.
Namun, EMA minggu lalu mengisytiharkan suntikan AstraZeneca ‘selamat dan berkesan’ dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan badan pengawasan ubat-ubatan Britain mengeluarkan sokongan yang sama.
Dan setakat ini, tidak ada peningkatan ketakutan keselamatan untuk vaksin saingan seperti Pfizer dan Moderna.