Penduduk Cina Bantah Pembinaan Rumah Mayat Masyarakat Tionghua
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
JOHOR BAHRU, 03 Oktober 2022 – Sekumpulan penduduk Cina di Jalan Bakawali, Johor Jaya, membantah pembinaan sebuah rumah mayat masyarakat Tionghua di kawasan mereka.
“Saya bimbang kerana rumah mayat ini akan melibatkan banyak proses pembakaran mayat dan pastinya asap yang terhasil akan menyebabkan penduduk berasa kurang selesa,” kata seorang penduduk, G.K. Lim, menurut laporan portal tempatan.
Kata seorang lagi penduduk, Mark Lee, projek itu dibina sejak enam bulan lalu, namun hingga kini tiada sebarang papan tanda pemakluman dipamerkan.
“Persoalannya, bagaimana projek besar seperti ini boleh dilaksana sedangkan pemaju difahamkan masih belum ada kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT),” soalnya.
Katanya lagi, “Sebelum dikhabarkan bakal dibangunkan sebuah kawasan perumahan kos rendah, namun projek berkenaan terhenti. Kini yang berjalan pembinaan sebuah rumah mayat masyarakat Tionghua hampir dengan rumah kami.”
Difahamkan bahawa rumah mayat masyarakat Tionghua yang bakal dibina itu terletak tiga meter dari kediaman penduduk.
Susulan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Liow Cai Tung akan menghubungi Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan juga Pejabat Daerah Johor Bahru berhubung jarak pembinaan rumah mayat tersebut.