Tempatan

Penderaan Bella: Pengasas Rumah Bonda Dilarang Ganggu Mangsa

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 21 Ogos 2021 – Pengasas Rumah Bonda didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam atas tuduhan mengabaikan seorang kanak-kanak perempuan sindrom down sehingga mengalami kecederaan Jun lalu.

Siti Bainun Ahd Razali, 29, dituduh melakukan kesalahan itu di Irama Wangsa Kondominium, Seksyen 10, Wangsa Maju antara Februari hingga Jun 2021.

Dia mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Siti Bainun didakwa telah mengabaikan mangsa yang dikenali dengan nama Bella itu sehingga mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Shakira Aliana Alias menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh kerana membabitkan kes berkepentingan awam dan mendapat perhatian media.

“Tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan selain syarat tambahan perlu menyerahkan pasport serta melaporkan diri di balai polis berhampiran.”

“Mangsa dalam kes ini merupakan orang kurang upaya (OKU) sindrom down selain tertuduh terbabit dalam kegiatan politik,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya menerusi Peguam Nur Aminahtul Mardiah Md Nor, memohon jaminan rendah dengan alasan sudah memberikan kerjasama kepada pihak polis selain berjanji tidak akan gagal hadir ke mahkamah sepanjang prosiding kes kerana mahu membersihkan namanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dipohon pendakwaan dan menetapkan 4 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

“Kesemua syarat yang ditetapkan perlu dipatuhi oleh tertuduh kerana membabitkan mangsa kanak-kanak,” katanya.

24 Jun lalu, polis menerima laporan mengenai penderaan membabitkan Bella.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff dilaporkan berkata, mangsa mengalami kesan melecur di dada, tangan, leher dan paha serta kesan luka di bahagian badan lain.

“Mangsa yang tinggal di kondominium berkenaan sejak 14 Julai 2020 dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan lanjut serta turut disahkan positif Covid-19.”

Siti Bainun ditahan polis selepas hadir di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Kuala Lumpur Julai lalu untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Polis juga memohon supaya wanita itu ditahan reman bagi membantu siasatan kes itu, bagaimanapun Mahkamah Majistret menolak permohonan itu berikutan ia dilakukan melebihi tempoh 24 jam dari wanita itu ditahan.

Rumah kebajikan itu turut disita melalui perintah mahkamah yang dikeluarkan pada 5 Julai lalu.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: