Pendedahan: Mereka Yang Menentang Kerajaan India Akan Ditimpa Kesusahan
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
INDIA, 08 Julai 2022 – Mereka yang menentang pemerintahan kerajaan India bakal berdepan dengan ‘kesukaran’ di sana.
Berikut merupakan pendedahan yang dibuat oleh Somdeep Sen di dalam penulisannya di laman berita Al-Jazeera.
Menurutnya, pada 16 Jun baru-baru ini sahaja, Mahkamah Agung India terpaksa memberikan amaran terhadap kerajaan Uttar Pradesh yang dikelolai Yogi Adityanath daripada ‘menghukum’ mereka yang terlibat dengan tunjuk perasaan susulan isu penghinaan ke atas Nabi Muhammad S.A.W. baru-baru ini.
Kerajaan pimpinan Yogi, ahli kepimpinan parti Bharatiya Janata Party (BJP), yang juga merupakan parti pemerintah India, didapati telah merobohkan rumah aktivis beragama Islam di sana, di mana salah sebuah rumah yang dirobohkan adalah milik Javed Mohammed, aktivis Islam merangkap Ketua Welfare Party of India.
Taktik meroboh rumah ini, menurut Angshuman Choudhury (pengkaji), mempunyai persamaan yang sangat ketara dengan taktik yang digunakan pendatang Israel ke atas umat Islam di Palestin.
Bukan itu sahaja, Somdeep turut mendedahkan bahawa ‘virus’ Pegasus Spyware yang dicipta oleh syarikat ‘senjata siber’ Israel digunakan untuk mengintip wartawan, ahli akademik, peguam, musuh politik dan aktivis.
Terdahulu, samudera.my pernah melaporkan kenyataan Presiden Rusia, Vladimir Putin yang mengecam tindakan kerajaan BJP yang dianggap melanggar kebebasan beragama umat Islam.