Tempatan

TERKINI: Hampir 80 Dikhuatiri Tertimbus, 2 Maut Dalam Tanah Runtuh Genting Highland

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

GENTING HIGHLAND, 16 Disember 2022 – Hampir 80 orang dikhuatiri menjadi mangsa kejadian tanah runtuh di sebuah tapak perkhemahan berhampiran Father Organic Farm, Gohtong Jaya, di Genting Highland, Pahang hari ini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan, setakat jam 7 pagi tadi, sejumlah 79 mangsa berada di tapak perkhemahan terbabit kejadian runtuhan, dengan 23 daripadanya selamat.

“Sehingga kini, dua mangsa disahkan meninggal dunia, dengan tiga cedera dan 51 yang lain masih belum ditemui, ” kata JBPM Selangor dalam Facebook mereka.

Tambah JBPM Selangor, ketinggian runtuhan di tepi jalan berhampiran Father Organic Farm yang menghempap tapak perkhemahan yang berada berdekatan dengan jalan tersebut dianggarkan setinggi 30 meter dengan anggaran keluasan runtuhan sebesar 3 ekar.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 2.24 pagi.

Ujar beliau, sepasukan 20 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu, Rawang dan Genting dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dilakukan termasuk menggunakan khidmat unit anjing pengesan (K9) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Sentosa, Ampang, Pandan, Kota Anggerik, Kajang dan Andalas.

“Turut digerakkan ke lokasi kejadian adalah Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM),” katanya.

“Maklumat dari semasa ke semasa akan dikemaskini sehingga operasi selesai,” kata JBPM Selangor pula.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: