Pencemaran Bau: Murid, Guru Dan Pekerja Kantin Muntah, Pening
JOHOR BAHRU, 03 Ogos 2023 – Satu kes pencemaran bahan kimia dilaporkan berlaku di Ulu Tiram sehingga menyebabkan 24 murid, dua guru dan dua pekerja kantin di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiram mengalami pening dan muntah pada Selasa.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Tinggi II Mohd Salleh Mohamed berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian pencemaran bau kimia itu pada jam 3.13 petang sebelum 17 anggota dihantar ke tempat kejadian.
BACA JUGA: Cuaca Panas: Sabah Rekod Kes Kesihatan Terbaru
BACA JUGA: AMARAN SCAM: Waspada Helah Sindiket Penipuan Hantar E-Mel Guna Logo PDRM
BACA JUGA: Melaka Wujudkan Taskforce Tangani Konflik Haiwan Dan Manusia
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian mendapati 10 mangsa mengalami pening-pening dan dua murid mengalami muntah. PKO bertindak membuat ‘size up’ bagi mencari punca bau pencemaran tersebut.”
“Semua murid dan guru diarahkan untuk meninggalkan kawasan sekolah dengan segera. PKO bertindak membuat bacaan udara di lokasi kejadian secara berkala bersama pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor,” katanya dalam kenyataan pada malam Rabu.
Katanya, mereka dibantu pakar daripada Pasukan Hazardous Material Unit Team (HAZMAT) dari bomba Johor, Melaka dan Negeri Sembilan bagi mengesan pencemaran bau berkenaan.
Mengulas lanjut Mohamed Salleh memaklumkan, pada jam 8 malam pasukan HAZMAT membuat kerja-kerja pengesanan di dua lokasi berbeza dengan menggunakan alat gas analyser (gasmet).
“Lokasi pertama adalah di tapak kilang haram memproses minyak sawit terpakai dan lokasi kedua di ladang orkid. Hasil bacaan yang diterima di kedua-dua lokasi adalah normal.”
Jelasnya, proses pengesanan diteruskan pada Rabu jan 12 tengah hari dengan pasukan HAZMAT membuat pengesanan dengan menggunakan alat ‘scanning imaging gas infrared system’ (sigis 2) ‘gasmet’, ‘rad’ dan ‘4 gas meter’ di beberapa sektor yang ditetapkan.
Katanya, selepas membuat penilaian di lokasi sektor lima iaitu di kawasan sebuah kilang dengan menggunakan gasmet GT5000, terdapat peningkatan bacaan ‘methyl mercaptan’.
“Pasukan HAZMAT dan JAS mendapati berlaku aktiviti pembakaran tangki ‘ibc’ yang mengandungi bahan buangan dalam bentuk pepejal (sludge) dan cecair serta pelupusan bahan pepejal (sludge) dan sisa cecair ke di laluan tali air ke sungai berhampiran.”
“Hasil dari penemuan itu operasi seterusnya diserahkan kepada JAS Johor untuk tindakan berkaitan,” katanya.