Antarabangsa

Pemujaan Dewa Hanuman Mula Dimainkan Lawan Laungan Azan Subuh

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KARNATAKA, 16 Mei 2022 – Ahli Pasukan Tentera Rama (Sri Ram Sene) memainkan puisi memuja dewa Hanuman (Hanuman Chalisa) menerusi pembesar suara bagi melawan laungan azan sehari selepas arahan dikeluarkan ketua pasukan militan itu, Pramod Muthalik, di Karnataka.

Hindutvawatch.com melaporkan, Pramod Muthalik mengeluarkan ugutan tersebut selepas kerajaan negeri Karnataka tidak menghalang laungan azan menggunakan pembesar suara sebelum pukul 6 pagi.

Berikutan itu, ketua kumpulan yang mendakwa diri mereka sebagai ‘briged moral’ itu mula melagukan puisi dewa, sang Bhajans pada pukul 4.55 pagi di Kuil Hanuman, Mysuru beberapa minit sebelum laungan azan Subuh.

“Sejak setahun lalu, kami sentiasa memberi amaran tentang isu yang disebabkan oleh pembesar suara, gangguan kepada masyarakat, pelajar dan pesakit.”

“Kami juga telah memberitahu orang Islam, tetapi tiada perubahan, tiada tindakan diambil selain mengeluarkan notis. Ia umpama sebuah drama. Malah hari ini masjid tidak berhenti memainkan pembesar suara semenjak pukul 5 pagi,” dakwa Pramod.

Tambahnya, perjuangan mereka menentang laungan azan sebelum pukul 6 pagi baru sahaja bermula.

“Sekiranya tiada tindakan diambil, kami akan memfailkan petisyen penghinaan di mahkamah tinggi kerana ia melanggar perintah Mahkamah Agung…”

“Ini bukan negara Taliban, Pakistan atau Afghanistan. Ini adalah India, ada perlembagaan dan kedaulatan undang-undang di sini.”

Bukan itu sahaja, Pramod juga mencabar Ketua Menteri Basavaraj Bommai untuk menunjukkan “keberanian”, yang ditunjukkan oleh rakan sejawatannya di Uttar Pradesh, Yogi Adityanath, dengan menurunkan pembesar suara dari semua tempat keagamaan bagi membendung pencemaran bunyi yang didakwanya sebagai ancaman sosial.

“…perjuangan kita bukan untuk menentang azan di masjid atau solat, tetapi menentang penggunaan pembesar suara,” kata Pramod Muthalik lagi.

Dilaporkan bahawa beberapa ahli kumpulan itu telah ditahan polis bagi mengelakkan mereka dari memasuki kuil dan memainkan puisi memuja dewa di negeri itu.

Leave a Reply

Back to top button