Pemimpin Gereja ‘Kuasai’ Butang Pelancaran Nuklear Rusia
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
RUSIA, 08 Mac 2022 – Dr. Dmitry Adamsky, seorang Naib Profesor di Reichman University mendakwa pemimpin-pemimpin gereja Ortodoks di Rusia telah berjaya ‘menembusi’ pentadbiran ketenteraan Rusia yang bertanggungjawab terhadap sistem nuklear Rusia.
Beliau turut menyatakan bahawa terdapat kemungkinan besar yang keputusan ketenteraan Rusia akan dipengaruhi ‘nasihat’ golongan Ortodoks ini, namun sama ada golongan agamawan ini cenderung untuk mencetuskan perang nuklear adalah masih belum dapat dipastikan.
Menurut penulisannya di laman Foreign Affairs, golongan pemimpin Kristian Ortodoks ini berjaya menempatkan diri mereka dalam setiap genap tingkat jawatan yang ada dalam struktur pentadbiran tentera Rusia.
Tambah beliau, antara punca golongan agamawan Kristian ini dapat ‘menguasai’ pentadbiran ketenteraan Rusia adalah disebabkan sikap askar-askar atasan Rusia sendiri yang mementingkan unsur spiritual dalam bidang ketenteraan.
Katanya lagi, Vladimir Putin, Presiden Rusia sendiri menyatakan bahawa dua tonggak utama yang menjadi tunjang kepada Rusia adalah senjata nuklear dan semangat Kristian Ortodoks.
“Benda yang pertama (senjata nuklear) menjamin keselamatan dari kuasa luar, dan yang kedua (semangat Ortodoks) adalah sumber kesejahteraan moral dan spiritual rakyat,” jelasnya.
Sepanjang peperangan antara Rusia–Ukraine, terdapat beberapa ketika di mana Rusia menunjukkan ‘taring’ nuklearnya, di mana Putin pernah mengarahkan tenteranya untuk mempersiapkan kelengkapan nuklear mereka; beliau juga pernah mengugut “akibat yang tidak pernah dilihat sejarah” ke atas penentangnya.