Tempatan

Pemilik MYDIN Halalkan Kecurian Akibat Banjir Di Sri Muda

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

SHAH ALAM, 21 Disember 2021 – Datuk Wira (Dr.) Haji Ameer Ali Mydin selaku Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) menghalalkan kecurian barangan di Cawangan MYDIN Mart Sri Muda baru-baru ini.

Hartawan pemurah tersebut melahirkan rasa simpati terhadap kelaparan dan keterdesakan mangsa banjir Taman Sri Muda untuk hidup kerana tidak tahan menunggu bantuan yang lewat tiba.

Beliau mengeluarkan kenyataan, “Saya amat tersentuh dan simpati dengan insiden bencana banjir teruk yang melanda terutamanya ketika negara masih bergelut dengan wabak pandemik Covid-19.”

“Dengan seikhlas hati, saya menghalalkan mereka yang melakukan perbuatan tersebut dengan niat meneruskan kelangsungan hidup akibat bantuan yang tiba lambat dan bukan dengan niat yang sebaliknya.”

Pengarah Urusan MYDIN faham bahawa mereka yang memecah masuk mencuri barangan tersebut adalah disebabkan mereka tiada pilihan lain untuk kelangsungan hidup keluarga.

“Sejujurnya, saya tidak menyokong perbuatan mencuri tersebut, namun dalam keadaan darurat, mungkin mereka tiada pilihan dan terpaksa melakukan perbuatan tersebut demi kelangsungan hidup.”

Selain kerugian akibat kecurian itu, cawangan MYDIN Mart Sri Muda itu turut mengalami kerugian melebihi jutaan ringgit akibat banjir yang melanda pada hari Sabtu lalu.

Usahawan itu juga mengajak jutaan rakyat Malaysia untuk turut sama memanjatkan doa kepada Allah agar semua mangsa banjir terselamat, dan bencana banjir dan pandemik ini pulih seperti biasa.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: