Pemilik Crackhouse Comedy Mengaku Tidak Bersalah Pertuduhan Mahkamah
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 22 Julai 2022 – Pemilik Kelab Crackhouse Comedy, Mohammad Rizal Johan Van Geyzel pagi ini mengaku tidak bersalah di atas tiga pertuduhan yang dikenakan terhadapnya selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nor Hasniah Ab Razak di Mahkamah Sesyen Jenayah Siber Kuala Lumpur pagi tadi.
Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998, akan dijatuhkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika disabit bersalah.
Pemilik kelab tersebut ditahan berhubung tiga video beliau yang didakwa menyentuh sensitiviti kaum Melayu dan agama Islam. Tindakan beliau itu telah menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan rakyat Malaysia lebih-lebih lagi yang beragama Islam.
Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, lelaki itu didakwa membuat hantaran komunikasi jelik melalui aplikasi Facebook menggunakan nama profil “Rizal van Geyzel”, Instagram “rizalvangeyzel” dan TikTok “rizalvangeyzel”, antara 4 hingga 6 Julai 2022.
Sumber memaklumkan, lelaki berusia 39 tahun itu sebelum ini ditahan kira-kira jam 1.30 tengah hari di sebuah lokasi di ibu negara dan ditempatkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membantu siasatan berhubung insiden Siti Nuramira Abdullah yang menghina Islam di kelabnya.