Antarabangsa

Ukraine Beri Amaran Eropah Berdepan Risiko Kebocoran Radiasi Yang Dahsyat

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KIEV, 12 Mac 2022 – Rantau Eropah bakal berdepan risiko kebocoran radiasi yang dahsyat selepas tentera Rusia memutuskan bekalan elektrik ke loji nuklear Chernobyl, demikian amaran yang dikeluarkan pihak berkuasa Ukraine.

Menurut Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba, buat masa ini loji nuklear tersebut bergantung dengan penjana kecemasan yang hanya mampu membekalkan tenaga elektrik untuk seketika sebelum kehabisan diesel dalam masa 48 jam.

Tambah beliau, “Selepas kehabisan diesel, sistem penyejukan di kemudahan penyimpanan untuk bahan api nuklear terpakai akan terhenti dan boleh mengakibatkan kebocoran radiasi.”

Sehubungan itu, Dmytro Kuleba menggesa agar gencatan senjata segera dilakukan oleh Rusia bagi membolehkan pasukan jurutera masuk ke dalam loji Chernobyl untuk memulihkan talian kuasa utama.

Gesaan itu dibuat selepas mengambil kira kenyataan syarikat nuklear milik Ukraine yang sebelum ini memaklumkan bahawa, “Sekiranya gangguan bekalan elektrik menyebabkan kebocoran radiasi, awan radioaktif berkemungkinan akan disebarkan oleh angin ke wilayah-wilayah di Ukraine termasuk ke Belarus, Rusia dan Eropah.”

Selain itu, terdapat kira-kira 20,000 pemasangan bahan api terpakai yang tidak dapat disejukkan dalam keadaan gangguan bekalan elektrik itu yang boleh menyebabkan sistem pengudaraan di loji akan turut berhenti berfungsi, seterusnya mendedahkan kakitangan Chernobyl kepada dos radiasi yang berbahaya.

Loji nuklear Chernobyl yang telah dirampas oleh tentera Vladimir Putin pada bulan lalu itu terputus bekalan elektrik selepas tentera Rusia didakwa memotong talian yang menghubungkannya dengan grid nasional Ukraine.

Pihak berkuasa Ukraine juga mendakwa bahawa kakitangan loji Chernobyl dijadikan tebusan dan ditawan di loji itu selepas tentera Rusia mengambil alih kemudahan tersebut bulan lepas.

Namun menurut Kementerian Pertahanan Rusia, serangan yang berlaku di tapak loji janakuasa nuklear Zaporizhzhia adalah angkara pensabotaj Ukraine dan disifatkan sebagai satu provokasi yang dahsyat.

“Bagaimanapun, malam tadi di wilayah bersebelahan loji janakuasa itu, satu percubaan telah dibuat oleh rejim nasionalis Kyiv untuk melakukan provokasi yang dahsyat,” ujar jurucakap Kementerian Pertahanan Rusia, Igor Konashenkov.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: