Kenyataan Kontroversi, Presiden Syria Hapuskan Jawatan Mufti
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
SYRIA, 19 November 2021 – Presiden Syria, Bashar al-Assad pada 15 November 2021 baru-baru ini memansuhkan jawatan mufti Syria, Ahmed Badrouddin Hassoun, susulan kenyataan mufti tersebut yang mencetuskan kontroversi dan kemarahan dalam kalangan pelarian Syria dan kerajaan Syria.
Dalam sebuah majlis pada 4 November baru-baru ini, mufti tersebut telah membaca petikan surah at-Tiin dari al Quran. Beliau menyatakan bahawa surah tersebut menunjukkan yang rakyat Syria telah diletakkan pada sebaik-baik negara dan mereka yang lari dari Syria telah ditimpa kehinaan.
“‘Sesungguhnya Kami (Allah) telah menciptakan manusia dalam sebaik-baik keadaan’, di negara ini (Syria). Maka apabila anda lari meninggalkan negara ini ‘Kami (Allah) kembalikan dia ke serendah-rendah darjat’,” ujar mufti tersebut.
Hal tersebut telah mencetuskan pelbagai reaksi terutamanya dalam kalangan pelarian Syria yang menganggap kenyataan beliau adalah tidak sensitif terhadap penderitaan yang ditanggung mereka dan tidak kurang juga ada yang melabel perbuatan mufti tersebut sebagai menafsirkan al-Quran mengikut agenda sendiri.
Dalam arahan rasmi kerajaan, Bashar al-Assad memansuhkan jawatan mufti dan menubuhkan sebuah jawatankuasa baharu yang akan menjalankan tugasan-tugasan mufti dan beberapa tugasan lain.
Jawatankuasa tersebut akan dianggotai oleh pihak dari golongan pentadbiran seperti presiden dan beberapa orang menteri, serta pihak keagamaan seperti hakim syar’ie, tiga puluh ulama dari pelbagai mazhab, imam dan lain-lain.