Antarabangsa

Pemegang Kunci Kaabah Meninggal Dunia

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

MEKAH, 24 Jun 2024 – Ketua Pemegang Kunci Kaabah, Sheikh Saleh Al-Shaibi telah meninggal dunia di Mekah Jumaat lalu pada usia 74 tahun.

Menurut laporan, anak lelaki beliau, Abdulrahman Saleh Al-Shaibi memberitahu, bapanya menghidap penyakit dan pemergian itu merupakan detik paling sukar bahkan menyedihkan buat ahli keluarga.

Pemergian beliau turut dirasakan oleh Penulis dan Pakar Hal Ehwal Mekah, Khaled Al-Husseini yang menyifatkan Sheikh Saleh sebagai seorang ilmuwan dan ahli akademik yang berpengetahuan luas.

Ujarnya, “Beliau bermurah hati berkongsi ilmunya kepada generasi yang mendapat manfaat daripada kepakarannya selama 20 tahun.”

Jenazah telah disolatkan di Masjidil Haram sejurus selepas Subuh pada Sabtu dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Al Mu’alla, Mekah.

Laporan sama turut memaklumkan bahawa Sheikh Saleh merupakan penjaga dan pemegang kunci Kaabah ke-109, selepas mengambil alih tugas bapa saudaranya, Almarhum Abdulqader Taha Al-Shaibi pada 2013.

Setakat ini, fungsi penjaga dan pemegang kunci terhad kepada pembukaan dan penutupan pintu Kaabah.

Keluarga Al-Shaiba telah lama memegang tanggungjawab menjaga Kaabah berdasarkan sabda Rasulullah SAW bahawa keluarga Al-Shaiba perlu melaksanakan tugas penting itu.

Berikutan tradisi turun temurun, orang seterusnya yang akan menjadi pemegang kunci Kaabah juga akan dipilih dari keluarga Al-Shaiba.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: