Pembunuhan Wartawan Al-Jazeera: Kumpulan Hak Asasi Israel Sendiri Buktikan Israel Menipu
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PALESTIN, 14 Mei 2022 – B’Tselem, sebuah kumpulan hak asasi manusia Israel yang bertapak di Palestin baru-baru ini mendedahkan penipuan yang dilakukan kerajaan Israel dalam menuduh pejuang Palestin mengakibatkan kematian wartawan al-Jazeera, Shireen Abu Akleh.
Terdahulu, pendatang Israel telah menyebarkan sebuah video propaganda mempamerkan pejuang Palestin melepaskan tembakan, di mana Israel mendakwa pejuang tersebut yang telah menembak Shireen Abu Akleh.
Namun, NGO B’Tselem telah mendedahkan bahawa video pejuang Palestin tersebut dirakam jauh daripada tempat Shireen Abu Akleh dibunuh, sekaligus mustahil untuk pejuang Palestin tersebut mencederakan wartawan al-Jazeera itu.
“Kajian B’Tselem pagi ini di Jenin (kawasan pertempuran) menunjukkan bahawa mustahil tembakan yang dilihat daripada rakaman video yang disebarkan oleh kerajaan Israel itu sebagai tembakan yang membunuh wartawan tersebut,” tegas Hagai El Ad, Pengarah Eksekutif B’Tselem, seperti yang didedahkan TRT.
Kerajaan Israel baru-baru ini dikecam teruk oleh media antarabangsa atas kekejaman dan keganasan mereka membunuh wartawan al-Jazeera dengan sedas tembakan ke kepala wanita tersebut.
Badan antarabangsa turut mendesak supaya pihak berwajib mengambil tindakan ke atas Israel atas pembunuhan yang telah melanggar undang-undang antarabangsa tersebut.
Namun, pembunuhan ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana Israel sememangnya ‘terkenal’ sebagai salah satu penjenayah antarabangsa, di mana kerajaan aparteid tersebut telah melanggar sekurang-kurangnya 28 resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).