Tempatan

Pembunuhan Umat Islam Dan Kristian Di India Satu Agenda Terancang – Ahmad Iqram Mohamad Noor

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 28 Mac 2022 – “Kita telah menyaksikan pelbagai siri keganasan, rusuhan, dan pembunuhan beramai-ramai kepada umat Islam dan Kristian di India. Itu bukan suatu insiden secara kebetulan tetapi sememangnya dirancang sebegitu,” tegas penyelidik bebas, Ahmad Iqram Mohamad Noor.

Menurutnya, ini kerana ideologi Hindutva mahukan negara India menjadi tanah suci sepenuhnya didiami oleh penganut agama pribumi India seperti Hindu, Buddha, Sikh dan Jain. Manakala Islam dan Kristian perlu dikeluarkan dari tanah tersebut.

Caranya mereka membakar sentimen itu dengan cara menanam ketakutan atau Islamofobia kepada masyarakat Hindu terhadap ancaman Islam akan menguasai India, Islam akan menindas Hindu, Islam akan berlaku biadap kepada penganut Hindu.

Walhal, umat Islam di India hanyalah 15 peratus dan merupakan kelompok yang minoriti di sana. Dari ketakutan itulah mereka membalas reaksi dengan cara yang melampaui batas.

Di Malaysia pula kelompok mendokong idea ini turut membawa trend yang sama dengan cara menghasut umat Hindu di Malaysia ini dengan sentimen mereka ini ditindas, didiskriminasi haknya, agama orang Hindu bakal ditukar kepada Islam secara paksa dan sebagainya.

Dengan cara sentimen agama yang senang dibakar, ia memudahkan pendokong ideologi ini menyuntik idea bahawa Hindu perlu dominan, menuntut hak apa yang mereka rasa perlu tuntut, terutama dalam mendepani umat Islam.

Itulah yang sedang berlaku, mereka ini hanyalah 7 peratus di dalam negara ini, tetapi inilah suara-suara lantang yang sentiasa menimbulkan polemik sensitiviti agama dalam negara ini.

Perlu diketahui, orang Tamil di Malaysia ini mereka adalah bangsa yang ada sopannya dan ada ramahnya, tetapi segelintir mereka ini telah termakan dengan hasutan pendokong ideologi Hindutva yang menjadi ‘master mind’ dalam memainkan sentimen agama Hindu yang rata-rata para demonstrasi itu pun tidak tahu siapa dalang bagi program tersebut.

Ideologi Hindutva di India mula disalutkan dengan sentimen agama yang sangat menebal apabila Rashtriya Swayamsevak Sangh (RSS) menubuhkan satu sayap agama yang dinamakan sebagai Vishva Hindu Parishad (VHP). Boleh dikatakan setelah penubuhan VHP inilah siri-siri keganasan anti-Islam semakin menjadi-jadi di India terutama mendesak bagi pemusnahan masjid Babri dengan menukar menjadi kuil Sri Rama.

Vishva Hindu Parishad (VHP) telah mengadakan satu persidangan Hindu iaitu World Hindu Conference pada tahun 1966. Dalam persidangan itu tiga resolusi yang menjadi tuntutan perjuangan VHP telah diputuskan iaitu:

a)Memuliakan kuil: Dengan mempertahankan kuil dan membinanya dengan banyak.
b) Ghar Wapsi: Menghalang orang Hindu keluar agamanya dan mengajak mereka yang telah keluar dari Hindu (Mualaf) untuk masuk kembali agama Hindu.
c) Go Raksha: Menghalang lembu dari disembelih oleh orang Islam.

Jelasnya, ketiga-tiga sentimen ini sedang berlaku di Malaysia. Dalangnya juga dibawa oleh Vishva Hindu Parishad Malaysia (VHP) yang pernah memiliki pejabatnya di Petaling Jaya. Dalang yang membawa sentimen ini dan pendokong ideologi Hindutva juga datang dari 3 buah persatuan yang menjadi tulang belakang bagi sebuah pertubuhan Hindu yang diharamkan kerajaan pada tahun 2008.

Dukacitanya, wacana mengenai ancaman ideologi Hindutva yang memiliki sifat permusuhan kepada umat Islam ini sangat jarang diwacanakan di kalangan Muslim di Malaysia. Sedangkan ideologi ini telah sekian lama bertapak di Malaysia sejak kemenangan parti BJP di India dari tahun 1998 hingga 2004 ketika zaman Atal Bihari Vajpayee menjadi Perdana Menteri India. Dari situlah ideologi Hindutva mula aktif melebarkan pengaruhnya ke Malaysia.

Perlu diketahui bahawa ideologi ekstremis Hindutva ini sepenuhnya terbentuk adalah hasil permusuhan kelompok ketuanan Hindu terhadap kebangkitan gerakan Islam di India. Ideologi ini mendidik mereka agar negara India hendaklah menjadi tanah suci Hindu yang tidak mengiktiraf kedudukan agama Islam dan Kristian kerana dua agama ini dianggap agama asing dari India.

Jika ideologi ini berkembang di negara yang tidak memiliki majoriti umat Islam, pada saya ia bukanlah suatu isu besar, akan tetapi ia menjadi sangat bahaya dan bakal berlaku pertembungan besar apabila ideologi anti Islam ini berkembang di negara yang majoriti umat Islam seperti di Malaysia. Ini kerana dalam benak kepala mereka ada sentimen yang bersikap prejudis terhadap Islam dan boleh mengakibatkan ketidakharmonian antara agama.

Kesan yang jelas adalah mereka menanam sentimen Islamofobia kepada masyarakat Hindu di Malaysia. Apabila ada orang Hindu yang masuk agama Islam, kumpulan ini akan menjadi yang paling bising. Mereka juga telah masuk ke kuil dan komuniti Hindu di Malaysia untuk menanam sentimen “Sifar Pertukaran Agama”.

Malaysia adalah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, dan adanya Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam. Sudah tentulah usaha dakwah Islam dikembangkan dalam negara ini. Apabila wujud ideologi Hindutva ini, pertembungan boleh berlaku dengan apa yang mereka sedang semai di kalangan masyarakat Hindu di dalam negara ini.

Kes mempertahankan kuil haram juga turut didalangi oleh pendokong ideologi Hindutva. Malah polemik di kuil Seafield Sri Mariamman di Subang sehingga menjadi tegang juga didalangi oleh kumpulan ideologi ekstremis ini.

Justeru, umat Islam perlu cakna akan bahayanya ideologi ini bertapak di negara Malaysia. Umat Islam perlu bersama-sama menghalang ideologi ini dari terus berkembang.

Kerajaan juga perlu mengisytiharkan fahaman ini sebagai gerakan ideologi ekstremis yang mengancam keselamatan, keharmonian dan perpaduan dalam negara ini.

“Jika ia dibiarkan, tunggulah kelak, siri-siri ketegangan agama akan berlaku melibatkan pendokong ideologi Hindutva dengan umat Islam di Malaysia dan tidak akan berkesudahan,” ujarnya mengakhiri perbualan.

Leave a Reply

Back to top button