Pembunuh Jemaah Masjid Christchurch Pertimbang Buat Rayuan Hukuman
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
NEW ZEALAND, 09 November 2021 – Pengganas yang telah menembak mati 51 orang jemaah Masjid Christchurch di New Zealand pada tahun 2019, Brenton Tarrant, menyatakan bahawa beliau sedang mempertimbangkan untuk membuat rayuan supaya hukumannya dikurangkan.
Alasan beliau: pengakuan bersalah yang dikemukakan sebelum ini dilakukan di bawah paksaan.
Brenton mengaku bersalah atas sabitan 51 pertuduhan membunuh, 40 percubaan membunuh dan 1 pertuduhan melakukan keganasan, pada tahun 2019 dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa parol.
Namun, peguamnya Tony Ellis menyatakan bahawa beliau telah dilayan dengan layanan yang teruk sepanjang direman sekaligus menyebabkan Brenton tidak berfikir panjang sebelum mengaku bersalah.
“Dia membuat keputusan bahawa jalan termudah adalah untuk mengaku bersalah.”
Pada 15 Mac 2019, Brenton Tarrant telah membunuh jemaah di dua buah masjid di bandar Christchurch ketika umat Islam sedang mengerjakan solat Jumaat sambil menyiarkannya secara langsung di media sosial.
Serangan menggunakan senjata automatik itu meragut 51 nyawa dan mencederakan lebih kurang 40 orang mangsa.
Pengganas ini membunuh jemaah di Masjid Al Noor dan kemudiannya meneruskan kekejamannya di Pusat Islam Linwood.
Abdullah Naeem yang kehilangan ayah dan abangnya dalam pembunuhan kejam tersebut menyatakan, “Penjara seumur hidup adalah hukuman yang ringan untuk apa yang dia (Brenton) telah lakukan. Undang-undang yang adil tidak akan membenarkan rayuannya.”