Pembunuh Buraikan Perut Banyak Kucing Di Pantai Terengganu Dikehendaki Polis
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
BESUT, 07 Mac 2022 – Pihak polis membuka siasatan ke atas kes pembunuhan hampir 20 ekor kucing yang dipercayai berlaku akibat perbuatan khianat di kawasan pantai peranginan Bukit Keluang, Besut semalam.
Tular sebuah rakaman video dimuat naik Badrul Hafeezy di laman Facebook menunjukkan bangkai kucing bergelimpangan di kawasan pantai tersebut.
Beliau bersama rakannya, Roshanapi Osman yang selalu berkunjung ke pantai itu terkejut apabila terlihat bangkai haiwan tersebut di tanah sekitar pantai.
“Tujuh daripada kucing berkenaan masih kecil. Bangkai dijumpai bersama beberapa ekor kucing peliharaan kerana mempunyai tali leher,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.
Menurut Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Abdul Rozak Muhammad, pihaknya menerima aduan berkenaan daripada seorang individu yang menerima video tentang tragedi itu melalui Whatsapp.
Lapornya, sebanyak 15 ekor kucing ditemui mati manakala dua lagi ditemui hidup tetapi dalam keadaan cedera. 13 ekor kucing mati di kawasan tanah berdekatan pokok-pokok, manakala dua ekor lagi mati berdekatan persisiran pantai.
Beliau mendapati terdapat kesan lebam biru pada kawasan perut kucing, darah pada mulut dan hidung serta ada juga yang terburai perutnya.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan (Khianat ke atas Binatang) dan pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Dr Anun Man, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu berkata mereka telah melakukan bedah siasat dan mengambil sampel daripada bangkai kucing-kucing tersebut untuk tujuan analisis kimia dan diagnostik di makmal.
Mereka turut membuka kertas siasatan melalui Penguat Kuasa Veterinar Negeri mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772). Kesalahan tersebut boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM100,000 dan hukuman penjara sehingga tiga tahun.
Orang awam boleh membuat aduan kebajikan haiwan melalui laman web MyAnimalWelfare di https://awa.dvs.gov.my/support