Tempatan

Pembuli Siber Komen Malukan Orang Boleh Dipenjara

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PETALING JAYA, 30 Mac 2022 – Pelaku buli siber yang menggunakan media sosial untuk menulis komen kesat, berkongsi dan menyebarkan maklumat dengan niat untuk mengaibkan orang lain boleh dipenjara sehingga setahun atau denda hingga RM50,000.

Perbuatan mengaibkan orang lain itu merupakan satu jenayah buli siber dan mangsa boleh melaporkan kepada pihak berkuasa. Jika dibuktikan bersalah, pembuli boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar perkhidmatan rangkaian).

Ketua Pegawai Eksekutif Cyber Security Malaysia (CSM), Datuk Amirudin Abdul Wahab berkata, sebanyak 2,190 kes berkenaan buli siber telah dikesan oleh pihak Cyber Security Malaysia (CSM) dalam tempoh lima tahun ini.

Menurut beliau, buli siber boleh dikaitkan apabila si pembuli melakukan perbuatan yang bertujuan menakutkan, mendatangkan kemarahan dan memalukan seseorang melalui e-mel, laman sosial, telefon bimbit dan mana-mana platform internet secara berulang.

“Jika jenayah itu masih berlaku, mangsa dinasihatkan tidak mengendahkan mesej yang dihantar pembuli sebagai bahan bukti dan melaporkan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Mengulas lanjut, biarpun belum ada undang-undang atau akta khusus ditetapkan mengenai buli siber, namun inisiatif ke arah penggubalan undang-undang sedang dilaksanakan bagi menangani masalah yang kian menggusarkan itu.

“Dengan adanya undang-undang khusus itu, proses pendakwaan berkaitan buli siber tidak lagi perlu berpandukan akta-akta lain, seperti Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar perkhidmatan rangkaian),” ujarnya.

Beliau menambah lagi dengan berpendapat bahawa perbuatan daripada pembuli siber itu boleh mengganggu emosi, fizikal dan mental mangsa hingga mengakibatkan depresi, kemurungan dan boleh menyebabkan mangsa melakukan perbuatan yang mencederakan diri.

“Paling membimbangkan, jika tidak dibendung akan mengakibatkan bunuh diri,” tambahnya.

Justeru, Amirudin mengingatkan mangsa buli siber agar berkongsi masalah dengan orang terdekat dan jangan sesekali membalas mesej atau e-mel daripada pembuli siber berikutan ramai mangsa berdiam diri apabila mereka mereka dibuli.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: