Tempatan

Pembubaran Parlimen: Nasihat VS Permintaan – Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi

PEMBUBARAN PARLIMEN: NASIHAT vs PERMINTAAN

Perlembagaan memperuntukkan dua keadaan dalam pembubaran Parlimen, iaitu berlandaskan nasihat (advice) atau permintaan (request).

Selagi Perdana Menteri masih mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, beliau boleh menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (YDPA) dalam pelaksanaan kuasa Baginda di bawah Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan. Apabila Perdana Menteri sudah hilang kepercayaan menurut Perkara 43(4), beliau tidak lagi boleh memberikan nasihat (advice), sebaliknya hanya boleh mengemukakan permintaan (request) agar YDPA membubarkan Parlimen.

Dalam keadaan Perdana Menteri sudah hilang kepercayaan majoriti dan permintaannya untuk membubarkan Parlimen tidak diperkenankan oleh YDPA maka Perdana Menteri serta ahli Jemaah Menterinya hendaklah meletakkan jawatan.

Penolakan pembubaran Parlimen mempunyai implikasi undang-undang berbeza dengan kuasa YDPA menurut Perkara 55 yang perlu dilaksanakan mengikut nasihat Perdana Menteri.

Peruntukan Perkara 150 dalam perisytiharan darurat memelihara prerogatif YDPA untuk tidak terikat dengan permintaan Perdana Menteri, tetapi prerogatif sedemikian telah dibataskan dalam Perkara 55 oleh Perkara 40(1) dan (1A).

Perlembagaan Persekutuan hanya memperuntukkan dua keadaan tersebut yang termaktub secara nyata.

Apabila Parlimen dibubarkan, Pilihan Raya Umum (PRU) perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh ia dibubar, jika menghampiri tarikh tersebut berlaku bencana alam seperti banjir besar dan PRU tidak mungkin boleh dilaksanakan dalam tempoh 60 hari tersebut, maka YDPA boleh, atas permintaan Perdana Menteri Interim untuk isytiharkan darurat.

Apabila darurat diistiharkan, YDPA boleh melalui ordinan menetapkan tarikh baru PRU bagi kawasan yang terkesan dengan bencana alam tersebut, atau tangguhkan PRU bagi semua kawasan Parlimen.

Darurat boleh diisytiharkan bagi mana-mana bahagian dalam Persekutuan, tidak semestinya keseluruhan Persekutuan.

Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi bin Wan Husain
Profesor Madya
Fakulti Pengurusan Industri
Universiti Malaysia Perlis

Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: