Pembelian Rumah B40 Patut Diuruskan Bawah Konsep “Building Society” – Haniff Khatri
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 10 Ogos 2022 – “Penyelesaian masalah-masalah pembelian rumah ataupun perumahan untuk orang-orang yang miskin golongan B40 ini sepatutnya dilihat dari sudut yang berbeza daripada pembelian rumah biasa,” ujar peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla.
Menurutnya, pertama sekali kita semua tahu bahawa B40 ini tidak mungkin akan mempunyai peluang untuk memenuhi syarat-syarat bank biasa ataupun kemudahan kewangan yang diuruskan sekarang melalui mana-mana bank tertentu oleh pihak Kerajaan.
Jadi, sepatutnya untuk B40 ini diuruskan satu konsep lain yang wujud sebelum ini dipanggil “Building Society”.
Building Society ini memberikan pinjaman, ia bukannya bank tetapi cara pelaksanaan building society ini pun tidak boleh ikut zaman dulu iaitu mengikut pinjaman melalui pihak swasta.
Soal beliau, macam mana cara nak melakukan perkara ini.
Caranya, adalah negara terutamanya Kerajaan Persekutuan mempunyai pelbagai agensi Persekutuan di negeri- negeri terutamanya di negeri-negeri yang tidak ditadbir oleh Kerajaan Persekutuan seperti contohnya kita ada Lembaga Kemajuan seperti KETENGAH (Terengganu), KESEDAR (Kelantan), KEDA (Kedah), KEJORA (Johor) dan PERDA untuk Pulau Pinang.
Jadi jelas Haniff, Kerajaan Persekutuan boleh menggunakan agensi-agensi Persekutuan ini yang biasanya diberi dana untuk program-program luar bandar khasnya untuk orang-orang miskin, ibu-ibu tunggal, usahawan kecil, pinjaman ringkas ataupun pinjaman kecil dan sebagainya.
Wujudkan Pemberian Kemudahan Perumahan Dengan Cara Yang Paling Mudah Untuk B40
Maka, melalui konsep yang sama minta bank negara keluarkan lesen untuk beri pinjaman perumahan building society kepada agensi-agensi Persekutuan di negeri-negeri terbabit dan boleh juga diwujudkan di negeri-negeri lain supaya agensi-agensi ini yang akan mengendalikan pemberian kemudahan perumahan dengan cara yang paling mudah kepada orang yang tidak mempunyai kerja tetap, sekalipun yang miskin tegar dan sebagainya.
Jelasnya, konsep perumahan ini boleh diubah bukan sahaja untuk dibeli tetapi untuk sewa beli atau sekadar penyewaan dan sebagainya.
Kenapa saya berkata demikian, sebab agensi-agensi ini dia akan terus ke setiap ceruk dan pelosok kampung, dan mana-mana kawasan yang terpencil di kawasan luar bandar untuk membuat program-program biasanya yang lain.
Jadi, mereka sudah tahu kependudukan semua orang luar bandar di kawasan-kawasan negeri tersebut yang menjadi golongan sasar dan mereka boleh sampaikan maklumat kaedah pembelian dan cara bayaran bulanan.
Contohnya, kalau kita sewa beli sebuah rumah berharga RM25,000 dan sebulan dikehendaki membayar RM50 maka mereka juga secara tak langsung boleh cari pembeli berkenaan untuk kutip wang tersebut kalau pembeli tidak datang bayar dalam masa yang ditetapkan.
Beliau berkata, sebelum ini, kalau pergi ke pihak bank, bank mana nak bagi pinjaman kepada orang miskin yang tidak ada bukti pekerjaan dan pendapatan tetap.
Jadi, mereka akan selamanya tidak berpeluang untuk memiliki rumah sendiri walaupun kecil. Bukan kata untuk beli terus nak sewa beli pun sudah tentu tidak berpeluang.
Yang kedua, agensi-agensi ini sebab mereka berurusan secara terus dan mereka akan kenal pasti perkembangan dan kemajuan setiap orang.
Jika peningkatan ekonomi keluarga itu bertambah baik di masa hadapan misalnya anaknya sudah mempunyai pekerjaan tetap dengan pendapatan yang tinggi maka dia sudah boleh dikeluarkan dari skim tersebut.
Jadi, agensi ini sangat rapat dan boleh memantau sesiapa yang menyalahgunakan kemudahan ini dan siapa yang perlukan dan sebagainya jadi masalah ketirisan sekali gus juga dapat diatasi.
Cara Penyelesaian Lebih Afdal, Mudah Dan Lebih Praktikal
Haniff berkata, beliau melihat ini antara konsep yang baginya dapat membantu orang-orang yang betul-betul miskin untuk dapatkan rumah mampu milik seperti yang mereka harapkan.
Bukannya, melalui pinjaman-pinjaman bank kerana ini semua syarikat swasta.
Jelasnya, dari segi pelaksanaan, kemudahan dana boleh disalurkan daripada Kerajaan Pusat terus kepada agensi dan agensi ini ada kuasa untuk membuat rundingan harga dan kemudahan dalam menyelia agar objektifnya dapat dicapai.
Sebab, agensi ini tahu di mana kependudukan setiap orang miskin yang sedia ada di dalam rekod mereka.
Kesimpulannya, sesiapa pun yang menerajui Kerajaan dan mempunyai mandat untuk mentadbir boleh faham perkara ini, boleh kaji dan terus laksanakan melalui cara yang saya nyatakan tadi maka, insya Allah ini adalah satu cara lain untuk bantu orang miskin.
Beliau berkata, dari segi akta perundangan, pertama sekali kena wujudkan konsep building society ini di tahap agensi Persekutuan seperti yang saya terangkan di atas kemudian kena juga buat akta pindaan yang perlu. Jika perlu di bawah Bank Negara, sekurang-kurangnya regulasi ataupun undang-undang kecil yang perlu.
Kemudian, kena dibuat pindaan jika perlu kepada undang-undang kecil akta-akta PERDA, akta-akta KEDA, akta-akta KEJORA dan kesemua agensi yang perlu kerana kesemua ini ditubuhkan di bawah akta Parlimen masing-masing.
Menurut beliau lagi, boleh juga dibuat satu akta khusus untuk mereka ini diberikan kuasa untuk gubal undang-undang kecil khusus cara pemberian, proses pemberian, cara kerja dan pelaksanaan bagi memudahkan pihak-pihak dari agensi-agensi ini dapat mengendalikan rancangan program yang ditetapkan.
“Perlu juga ada satu board atau lembaga pengurusan. Misalnya, PERDA mereka memang ada lembaga sendiri untuk menyelaras dan melaksanakan dan memang biasanya akan diwujudkan satu lembaga pentadbiran untuk menguruskan program-program tertentu sebelum ini pun,” katanya.
Selain itu, boleh juga diwujudkan lembaga-lembaga kecil, lembaga pengarah untuk menyelia program ini. Beri kelulusan yang perlu dan lapor kepada lembaga penuh dan jika ada salah silap boleh dipantau dan diambil tindakan yang perlu.
Semua Kementerian Yang Berkaitan Perlu Berbincang Dan Bekerjasama
Ujarnya, semua itu ada urus tadbir undang-undang dan regulasi-regulasi yang bersangkutan dan itu tidak menjadi masalah.
Cuma, perlu dikaji di tahap pembangunan ekonomi dan sebagainya bukan sahaja di peringkat negeri tetapi dikaji di tahap negara oleh Kementerian Ekonomi atau Kementerian Perumahan termasuklah berbincang dengan semua kementerian berkaitan seperti Kementerian Kewangan dan Kementerian Luar Bandar untuk agensi-agensi ini keluarkan satu kertas kerja lengkap yang menyelia dan mengubah suai apa-apa undang-undang yang berkaitan.
Jelas beliau, semua perkara ini ada caranya, setiap masalah dunia boleh diselesaikan dengan kejujuran.
Beliau tidak menafikan, masalah yang berlaku terhadap rumah kos rendah ini adalah dari segi penyeliaan dan perlaksanaan yang sering menjadi isu ketirisan pentadbiran.
Justeru, perlu dipersoalkan ada tak semakan dibuat satu bentuk “verification” ataupun “supervision” dibuat oleh pihak berkenaan di atas pemohon.
“Ada tak orang dihantar untuk mengikut keluarga atau pemohon tersebut untuk melihat di mana dia duduk dan di mana dia kerja.”
Ini semua, patut buat, bukan sekadar harap orang akan jujur.
Ramai di luar sana, lebih-lebih lagi mereka yang tidak tergolong dalam B40, akan cuba mengambil kesempatan di atas kemudahan seperti itu.
“Itu yang saya tekankan penyeliaan itu penting.”
“Ini adalah antara cara penyelesaian yang bagi saya lebih afdal, lebih mudah dan lebih praktikal terutamanya untuk berurusan dengan orang miskin luar bandar supaya perumahan subsidi daripada Kerajaan sampai kepada golongan sasar yang sepatutnya,” ujar beliau.