Tempatan

Pembelian Online Kurang RM500 Dari Luar Negara Bakal Dikenakan Cukai 10% Bermula 2023

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 03 Ogos 2022 – Pembeli barangan import bernilai rendah (LVG) yang dibeli menerusi platform dalam talian perlu membayar cukai jualan yang dianggarkan sebanyak 10 peratus.

Pelaksanaan cukai jualan ke atas barangan import berharga RM500 ke bawah itu akan mula dikuatkuasakan pada 1 Januari 2023.

Sebelum ini, pembelian bagi barangan dari luar negara yang berharga kurang dari RM500 di dalam platform e-dagang tidak dikenakan cukai.

Menurut Presiden Institut Percukaian Malaysia (CTIM), Chow Chee Yen, tujuan pelaksanaan cukai ini adalah untuk mewujudkan ‘padang yang sama rata’ untuk peniaga tempatan.

Pelaksanaan cukai jualan ini selaras dengan pembentangan dua rang undang-undang (RUU) di Dewan Rakyat baru-baru ini iaitu RUU Cukai Jualan (Pindaan) 2022 dan RUU Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2022.

Bacaan kali pertama RUU Cukai Jualan (Pindaan) 2022 itu bertujuan meminda Akta Cukai Jualan 2018 bagi mengenakan cukai jualan ke atas LVG dijual secara dalam talian.

Di bawah RUU itu, Seksyen 11A baharu akan diwujudkan di mana ia akan mentakrifkan LVG sebagai ‘sebarang barangan atau kelas barangan yang ditetapkan di luar Malaysia yang dijual dan dibawa masuk ke Malaysia’.

Sebelum ini, akta berkenaan mengenakan cukai jualan ke atas barangan dikilang atau diimport ke di Malaysia.

Kerajaan, melalui Belanjawan 2022 yang lepas berkata, “Bagi memastikan layanan saksama antara barang bercukai yang dikilangkan di Malaysia dengan barang yang diimport, dicadangkan barang dari luar negara bernilai tidak melebihi RM500 (Low Value Goods – LVG), yang dijual oleh peniaga secara atas talian dan dihantar melalui perkhidmatan kurier udara kepada pengguna di Malaysia dikenakan cukai jualan.”

Di bawah perubahan ini, peniaga sama ada dari Malaysia atau luar negara yang menjual barangan berharga di bawah RM500 kepada pengguna di Malaysia perlu berdaftar dan mengenakan cukai jualan sebanyak 10%.

Dengan langkah ini juga, para peniaga tempatan akan lebih dilindungi dan menawarkan pasaran yang lebih saksama untuk semua.

Back to top button