PEMBELA Lancar Tabung Kes Saman Keabsahan Sekolah Vernakular
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 04 Januari 2022 – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) telah melancarkan tabung Dana Cabar Vernakular bagi masyarakat umum menyumbang kepada perjuangan kes saman mencabar keabsahan sekolah vernakular di sisi perlembagaan.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) Hj Aminuddin Yahaya melalui laman Facebook beliau selepas ramai yang bertanyakan mengenai tabung tersebut.
“Sudah ramai yang telah bertanyakan kepada saya, apakah PEMBELA akan membuka tabung bagi masyarakat umum menyumbang kepada perjuangan mencabar keabsahan sekolah vernakular ini?”
Hj Aminuddin menyatakan memandangkan kes ini akan berlanjutan lebih lama, dengan proses rayuan dan mungkin ke mahkamah yang lebih tinggi, maka pihak PEMBELA dan rakan seperjuangan mereka sependapat bahawa tabung khusus untuk usaha murni ke arah sekolah satu aliran kebangsaan demi perpaduan rakyat di negara ini perlu diwujudkan.
“Sekurang-kurangnya dapat sedikit sebanyak membantu menampung kos-kos seperti kos mahkamah, dokumentasi dan juga sebagai token kepada para peguam yang bertungkus lumus berjuang dalam kes ini.”
Tambah Hj Aminuddin, sempena 30 hari tempoh rayuan yang dibenarkan pihak mahkamah bagi kes tersebut, dan sempena tahun baharu 2022, mereka melihat tabung ini sebagai kayu ukur dokongan rakyat terhadap perjuangan ini.
“Walau berapa jumlah yang dikumpul nanti sekalipun, kami tetap redha kerana memang selama ini pun kita berjuang dari poket kami sendiri kerana kita yakin bahawa perjuangan ini adalah perjuangan kebenaran demi Agama, Bangsa dan Tanah air.”
Sumbangan boleh dibuat melalui pautan bit.ly/DanaCabarVernakular atau ke nombor akaun Bank Islam PEMBELA Management (12113010073054) bagi transaksi bawah RM20.