Tempatan

PEMBELA Gesa Tangguh Pinda Akta 342

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA)

10 FEBRUARI 2022

1. Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mengambil maklum akan cubaan kali kedua bagi meminda Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988), setelah gagal memindanya pada sidang Parlimen Disember 2021 yang lalu.

2. Setelah meneliti cadangan pindaan akta berkenaan, PEMBELA secara umumnya tidak mempunyai halangan terhadap pindaan tersebut kecuali kepada seksyen 21A, 24 dan 25 seperti berikut:

SEKSYEN 21A: “Ketua Pengarah boleh mengeluarkan apa-apa arahan mengikut apa-apa cara, sama ada secara am atau khusus, kepada mana-mana orang atau golongan orang…….”

SEKSYEN 24: “PENALTI AM yang menyatakan bahawa jika didapati bersalah seseorang individu boleh dikenakan penalti tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi 7 tahun; dan bagi pertubuhan perbadanan sejumlah RM2 juta…”

SEKSYEN 25: “PENGKOMPAUNAN KESALAHAN yang menyatakan bahawa seorang individu boleh dikompaun tidak melebihi RM10,000; atau dalam hal pertubuhan perbadanan tidak melebihi RM1 juta; jika disyaki dengan munasabah telah melakukan kesalahan melanggar mana perkara dalam Akta ini..”

3. Cadangan pindaan terhadap Seksyen 21 ini dilihat memberikan kuasa penuh (absolute) kepada Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan tanpa perlu merujuk kepada mana-mana pihak. Ini boleh menjurus kepada penyalahgunaan kuasa. Oleh itu, PEMBELA berpandangan adalah lebih wajar keputusan untuk mengambil tindakan itu ditentukan oleh SEBUAH MAJLIS bukan semata-mata diskresi seorang Ketua Pengarah.

4. PEMBELA melihat jumlah penalti melalui cadangan pindaan Seksyen 24 pula terlalu besar dan menekan rakyat serta amat tidak munasabah. Malah hukuman 7 tahun penjara sama seperti Kanun Keseksaan di bawah Seksyen-Seksyen berikut:-

i. Seksyen 325 mendatangkan kecederaan serius.

ii. Seksyen 363 kerana menculik.

iii. Seksyen 506 kerana ugutan jenayah.

iv. Seksyen 379 kerana menyamun.

v. Seksyen 393 kerana cuba mencuri.

5. Persoalannya, apakah dengan hanya sekadar tidak memenuhi SOP adalah sama dengan kes-kes jenayah yang dinyatakan ini?

Oleh itu, PEMBELA menggesa agar jumlah Penalti Am dan Kompaun ini dikurangkan kepada kadar yang lebih wajar. Dalam hal ini pihak berkepentingan (stakeholders) perlu dibawa kepada perbincangan.

6. Kerajaan diingatkan agar tidak lupa pada semua kesengsaraan yang dihadapi rakyat Malaysia ketika ini, terutamanya ketika kepincangan ekonomi negara dan kesempitan hidup rakyat sedang memuncak. Pindaan ini dilihat tidak mendatangkan kebaikan malah lebih menekan rakyat.

7. Oleh itu, PEMBELA mendesak agar kerajaan menangguhkan cadangan pindaan Akta 342 ini sehingga perubahan dibuat bagi cadangan pindaan Seksyen 21A, 24 & 25 tersebut. Sebaliknya, kerajaan mesti menggunakan Sidang Parlimen akan datang untuk fokus menyelesaikan pelbagai isu rakyat yang saban hari bertambah tenat.

8. Akhir sekali, kerajaan perlu sedar bahawa kepercayaan rakyat terhadap kerajaan semakin terhakis akibat kegagalan dari pelbagai aspek, terutamanya dalam menguruskan prioriti. Maka, janganlah terkejut jika pindaan Akta 342 ini menjadi cetusan kepada kebangkitan rakyat yang menolak kerajaan pada hari ini atas slogan “gagal” dan “zalim”.

SEKRETARIAT PUSAT

PERTUBUHAN-PERTUBUHAN PEMBELA ISLAM

Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my

Leave a Reply

Back to top button