Pembangunan Maju & Moden Bukan Alasan Abai Alam Sekitar – Pemangku Raja Pahang
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUANTAN, 24 Ogos 2021 – “Baru-baru ini saya ada bertitah, agar semua pihak untuk mengamalkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus atau Environmental, Social & Governance (ESG) negeri Pahang,” tegas KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
“Saya menyeru sekali lagi kepada semua pihak termasuk kerajaan saya, syarikat korporat dan swasta dan juga orang perseorangan untuk mengambil serius tentang pelaksanaan ESG. Janganlah ianya menjadi retorik semata-mata sebaliknya prinsip ESG ini perlu menjadi amalan dan panduan kita dalam menjadi khalifah di bumi ini.”
Titah baginda lagi, apa jua peranan dan pekerjaan kita dalam segala lapis masyarakat, kita haruslah memimpin menguruskan segala nikmat alam yang dipinjamkan oleh Allah SWT.
“Saya mengalu-alukan pembangunan yang maju dan serba moden. Walau bagaimanapun, ianya bukanlah alasan untuk kita mengabaikan alam sekitar dan melakukan kemusnahan sesuka-hati.”
“Kepada kerajaan saya, semak dan teliti semula peraturan dan SOP yang sedia ada. Apa yang kurang baik maka perbaikilah ia selari dengan prinsip ESG.”
Tegas baginda, matlamat tidak sesekali menghalalkan cara.
Pembangunan dan kemajuan yang kita harapkan mestilah mengekalkan kelestarian alam sekitar flora dan fauna.
“Kerajaan saya sendiri mestilah ditadbir dan menjadi contoh dalam mengamalkan prinsip ESG.”
Tadbir Urus Alam Sekitar (Environmental) adalah pengurangan kesan persekitaran, Sosial (Social) bermaksud penglibatan pihak berkepentingan dan Tadbir Urus (Governance) pula memperkukuhkan tadbir urus korporat dengan meningkatkan ketelusan operasi.